Lompat Parti Diibarat Permainkan Undi Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berpandangan tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan lompat parti buat kali kedua sudah semestinya akan mengecewakan rakyat.

Katanya ini juga memberikan gambaran seolah-olah sangat mudah kepada wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.

“Tindakan lompat demi lompat sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat dan bebas buat apa-apa sahaja.

“Ini sebenarnya menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat dan parti politik semakin terhakis. Ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, Zuraida yang sebelum ini pernah keluar dari PKR menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton dan kini mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebentar tadi.

Tegas Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi tidak mustahil tanpa pindaan undang-undang disegerakan krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik akan menyebabkan kadar peratusan mengundi akan semakin rendah pada pilihan raya umum akan datang.

“Perdana Menteri perlu melihat perkara ini serius dan tidak lagi berkompromi kepada mana-mana melompat kemudian kekal jawatan menteri kabinet.

“Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat.

“Ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan Menteri yang dipegang oleh Zuraida,” ujar beliau.

Zuraida juga pada yang sama memaklumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai perkara tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit