Ucapan Tok Mat Sarat Ingatan, Perhalusi Untuk Masa Depan Parti – Wakil Pemuda
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pimpinan Pemuda UMNO melihat penekanan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap beberapa perkara pada ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO malam tadi menjelaskan bahawa parti sentiasa melihat semua aspek dan tidak tertumpu satu perkara semata-mata apatah lagi melibatkan soal kepentingan rakyat.
Masing-masing ternyata teruja dan melihat ucapan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu adalah menyeluruh dengan gesaan kepada seluruh ahli agar UMNO diperkuatkan dan tidak bergantung kepada kekuatan pihak lain.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal gesaan Timbalan Presiden agar masing-masing membentuk kesatuan hati serta fikiran dan juga tindakan sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah satu peringatan cukup baik malah jelas tidak ada masa lagi bertelagah sesama sendiri.
“Inilah antara yang diutarakan… makna kata tidak ada kluster dalam UMNO selepas ini dan masing-masing berjuang untuk memenangkan parti keramat orang Melayu. Dan dengan kemenangan terbaru pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor, UMNO mampu kembali bangkit jika setiap ahli mempunyai azam dan tekad menjadikan ia parti dominan.
“Begitu juga apabila beliau turut menyentuh supaya parti tidak bergantung harap kepada mereka yang lain kerana hakikatnya UMNO itu perlu berdiri sendiri… UMNO perlu perkukuhkan bersama parti komponen yang dilihat semakin mendapat sokongan dan rakyat di luar sana jelas melihat BN mampu mentadbir Malaysia dengan baik dan jayanya,” katanya kepada UMNO-Online.
Terdahulu Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO malam tadi dengan turut disertai barisan kepimpinan tertinggi parti.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain pula menyifatkan ucapan Tok Mat sangat padat dan memberi penekanan kepada soal kesiapsiagaan tanpa perlu bernostalgia.
“Mesej jelas kepada perwakilan untuk berfikir apakah gerakan seterusnya. Parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara serta menekankan soal kestabilan dan beliau turut melontarkan bagaimana untuk mendepani PRU nanti,” tambahnya.
Beliau secara peribadi melihat lontaran ucapan berkaitan soal pembubaran parlimen dan soal PRU adalah satu perkara yang cukup baik untuk diperhalusi supaya kerajaan yang benar-benar stabil dapat dibentuk demi kepentingan semua pihak.
“Tetapi bila masanya, keadaan serta segala fakta yang ada untuk waktu pembubaran parlimen ini turut menjadi persoalan. Dalam keadaan pembangkang lemah ini adalah masa untuk pembubaran dan ini antara yang dilontarkan untuk dibahaskan dan dibawa ke peringkat selanjutnya,” ujar beliau lagi. – UMNO Online