Skuad Sabil Komponen Penting PAU, Petugas Sukarelawan Teruja Berkhidmat
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2021 menyaksikan penganjurannya kali kedua ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Di sebalik kesedaran ahli UMNO dan perwakilan yang hadir dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ada insan penting yang berperanan dalam mengawal pergerakan memastikan kelancaran sepanjang pelaksanaan himpunan terbesar parti Melayu ini.
Pasukan sukarelawan di bawah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Skuad Sabil antara komponen penting sempena PAU ini.
Bagi Ashraf Adenan, 21 tahun, salah seorang petugas skuad ini beliau meluahkan terujaan diberi peluang berkhidmat buat kali kedua.
“Perasaan memang rasa berdebar sebab hendak kawal keadaan, jaga SOP dan lain-lain lagi tapi disebabkan pengalaman kali kedua jadi ini tidak jadi masalah.
“… tapi sekarang tidak macam dahulu tempatnya terhad tapi kali ini perwakilan 5,500 orang jadi agak mencabar.
“Saya juga tengok kemeriahannya berbeza sebab dahulu aura UMNO kita tidak seperti sekarang kali ini tengok lebih semangat namun apa pun harap perwakilan yang hadir dapat mematuhi segala ketetapan,” katanya.
Pesanan sama diberikan Khairul Azuan Mustafa, 41 tahun berasal dari Gombak yang berharap perwakilan atau pengunjung yang berkesempatan untuk hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk patuh kepada SOP.
Juga bersama Skuad Sabil untuk kali kedua bertugas di PAU ini beliau meluahkan terharu kerana menjadi sebahagian daripada penganjurannya pada kali ini.
“Saya bertuah dapat bertugas pada PAU kali ini yang berperanan memantau pematuhan SOP, memastikan keadaan baik dan terkawal.
“Ini kali kedua saya rasa sangat beruntung diberi peluang sekali lagi bertugas di sini. Saya juga harap perwakilan yang hadir pada keempat hari dapat mematuhi segala ketetapan seperti disarankan oleh kerajaan,” ujar beliau.
PAU 2021 bermula hari ini menyaksikan penganjurannya diadakan sepenuhnya secara bersemuka di WTCKL.
Bagi memastikan kelancaran perhimpunan agung, Skuad Sabil ditugaskan untuk melakukan kawalan di setiap dewan dan sekitar perkarangan kawasan terbabit bagi memastikan peraturan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.
PAU kali ini juga mengembalikan kemeriahan sambutannya apabila bakal menyaksikan perbarisan oleh Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia dan Skuad Sabil dari Pergerakan Pemuda UMNO pada Acara Menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa Jumaat ini. – UMNO Online
Oleh: Nurul Sa’adah Latib