Tok Mat Seru Keluarlah Mengundi, Pilih Parti Yang Penuh Tanggungjawab
JOHOR BAHRU, 12 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru para pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk keluar mengundi hari ini bagi memastikan mandat dapat dikembalikan kepada kerajaan yang bertanggungjawab.
Katanya, sebagaimana hasrat Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang memulangkan mandat kepada rakyat maka hari ini adalah masa rakyat menyambutnya bagi memilih mereka yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Saya menyeru pengundi-pengundi agar menjalankan tugas dan tanggungjawab. Inilah hasrat untuk kita memulangkan semula mandat kepada rakyat dan rakyat perlu sambut untuk memilih mereka yang boleh dipertanggungjawabkan bagi mentadbir Negeri Johor ini untuk lima tahun akan datang.
“Mengundilah dengan penuh tanggungjawab dan bukan ikut orang atau terikut-ikut dengan isu sebaliknya fikirkan siapakah yang boleh diamanahkan untuk menerajui Negeri Johor ini.
“Saya harap berilah peluang dan mandat tuan-tuan dan puan-puan kepada BN kerana hanya BN yang dah ada ‘track record’ bahawa kestabilan itu membawa kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah PRN BN berkata demikian dalam siaran secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online sempena hari pengundian PRN Johor, hari ini.
Dalam masa yang sama Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengharapkan agar pengundi dan anggota jentera akan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan agar dapat memutuskan rangkaian COVID-19.
Dilaporkan, sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini.
Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – UMNO Online
Oleh: Ropikah Ahmad