Nampaknya Pihak Lawan Mula Hilang Arah… Ragu Dengan Tawaran Sendiri – Shahril

SEKIJANG, 10 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat pihak lawan mula hilang arah dan terdesak di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila menjadikan pimpinan Barisan Nasional (BN) peringkat nasional sebagai bahan kempen.

Jelas beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, keadaan berkenaan sekaligus memperlihatkan pihak lawan tidak mampu untuk menyentuh apa yang BN tawarkan menerusi Ikhtiar BN Johor kepada negeri berkenaan.

“Pihak lawan kita nampaknya tidak ada yang mampu menyerang kepimpinan BN negeri atau tawaran BN Johor mahu pun calon-calon yang kita tawarkan serta trek rekod UMNO dan BN itu sendiri di Johor ini semuanya tidak dapat mereka sentuh. Jadi mereka cuba mengalih perhatian pengundi kepada isu-isu lain yang tidak ada kena mengena dengan Johor.

“Jadi saya nampak itu adalah pendekatan terdesak….sebab kalau mereka yakin dengan tawaran untuk Johor mereka tidak akan bercakap perkara lain… tetapi barangkali melihat tawaran mereka untuk Johor sendiri dipersoalkan malah calon MB (menteri besar) pun tidak jelas sehingga ke hari ini dan tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk membuang undi,” katanya kepada UMNO Online di sini, Rabu.

Terdahulu beliau bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Manap berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Tengah, di sini.

Shahril seterusnya menambah dalam keadaan sedemikian pihak lawan terpaksa mencari pelbagai isu lain dan cuba mengaitkannya dengan PRN kali ini.

“Maka terpaksalah mereka cuba buatkan dan kaitkan PRN Johor ini dengan isu-isu lain yang saya fikir pengundi di Johor lebih bijak.

“Nama pilihan raya ini pun PRN Johor yang bertanding pun orang Johor dan yang nak jadi MB pun dah jelas siapa orangnya..idea apa nak buat pun jelas. Jadi biarlah mereka cuba dengan taktik yang terdesak itu,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.