PRN Johor: Taburan Penduduk Pelbagai, BN Hati-hati Jangka Jumlah Kerusi Menang

MERSING, 8 Mac – Berbaki tiga hari lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat jangkaan jumlah kerusi yang akan dimenangi dalam PRN itu pada Sabtu (12 Mac) ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata ia berdasarkan keadaan geografi di Johor yang luas dan taburan penduduk yang pelbagai, sekali gus menyukarkan parti itu membuat ramalan.

“Pada PRN Melaka sebelum ini sangat jelas…23 kerusi (Dewan Undangan Negeri-DUN) daripada 28 kerusi ditandingi adalah majoritinya pengundi Melayu, jadi senang untuk saya buat ramalan. Tetapi di Johor ini taburan penduduknya adalah kepelbagaian, kemajmukan di setiap kerusi DUN.

“Faktor lain adalah ini kali pertama pengundi yang didaftarkan secara automatik menjadi pengundi. Saya rasa ada seramai 750,000 orang dan satu DUN terdiri daripada sekurang-kurangnya 6,000 pengundi baharu, malah ada tempat lain 30,000 hingga 40,000 pengundi kali pertama. Jadi ia sedikit sebanyak mendatangkan isyarat kami perlu berhati-hati di sini untuk membuat anggaran tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Mersing, Mersing, hari ini.

Menurut Mohamad, BN akan mengadakan ‘dry run’ kali kedua esok bagi membantu parti itu membuat jangkaan dan melihat kedudukan yang lebih tepat tentang jumlah potensi kerusi boleh dimenangi pada PRN ini.

Dalam pada itu, Mohamad, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Johor, yakin kerusi DUN Endau di Mersing dapat dikembalikan kepada BN kerana ia merupakan kubu kuat parti itu sejak dahulu lagi, namun beliau berharap jentera parti tidak terlalu selesa dalam berkempen.

Mohamad menzahirkan keyakinan BN akan dapat mengekalkan lapan kerusi yang ditandingi di kawasan Zon Pantai Timur.

Lapan kerusi DUN itu ialah Endau, Tenggaroh di Parlimen Mersing; Panti, Pasir Raja (Parlimen Tenggara); Sedili, Johor Lama (Parlimen Kota Tinggi) dan Penawar dan Tanjung Surat di Parlimen Pengerang.

“Tetapi kita perlu bekerja secara berfokus hingga 12 Mac ini memandangkan tiga hari terakhir berkempen ini sangat getir. Sila bawa seramai mungkin pengundi yang kita kaji sikap mereka agar semua orang dapat keluar mengundi dan dapat memberikan undi kemenangan kepada BN secara mutlak kali ini,” katanya.

Mengenai parti lawan yang terus menggunakan ‘kluster mahkamah’ sebagai modal menyerang BN sejak PRN Melaka lagi, Mohamad berkata perkara itu tidak menggugat peluang BN untuk meyakinkan pengundi dan meraih sokongan.

“Kita tak macam orang yang cakap pasal integriti di sebelah sana…kes yang sedang berjalan digugurkan begitu sahaja, jadi siapa yang berintegriti sekarang? Jangan cakap pasal integriti sedangkan parti awak itu penuh dengan katak-katak lompat, apa integriti dia nak cakap.

“Saya…nak meraih simpati supaya pengundi di Johor berikan kepercayaan dan mandat semula kepada BN kerana BN sahajalah boleh membawa kestabilan politik,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.