Usaha Bantu Warga Felda Berterusan, Pengundi Johor Perlu Buat Pilihan Bijak
SEKIJANG, 6 Mac – Usaha Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung kebajikan warga Felda terutama berkaitan penghapusan hutang peneroka mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Wan Rosdy, usaha untuk menyelesaikan perkara berkenaan adalah satu langkah terbaik yang amat bertepatan dengan suasana hari ini.
“Untuk selesaikan (masalah Felda) sekaligus tidak mungkin…Namun Idris Jusoh telah berhempas pulas membantu masyarakat Felda dalam usaha menghapuskan hutang peneroka.
“Dan saya boleh katakan di sini penyelesaian isu Felda adalah atas daya usaha Datuk Seri Idris Jusoh dan bukan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Kata Wan Rosdy lagi Idris Jusoh juga adalah individu yang terus membantu untuk menyelesaikan isu PGBF di Felda.
Wan Rosdy turut turun berkempen pada PRN Johor dengan membantu calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Manap, di sini, hari ini.
Beliau turut berharap pengundi Johor agar membuat pilihan yang tepat dengan memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac nanti dalam usaha melicinkan pentadbiran kerajaan selain tidak ada gangguan demi kelestarian rakyat Johor.
“Contoh pentadbiran Pahang yang cukup efisien memandangkan tidak ada ugutan atau gangguan dalam pentadbiran kerajaan kerana kerajaan tersebut stabil dan mampu memberi keyakinan terhadap pelabur asing,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas