Undi18: Kak, Mengundi Nak Pakai Baju Apa?

JOHOR BAHRU, 6 Mac – “Kak, mengundi nak pakai baju apa?” antara persoalan yang ditimbulkan kepada Ketua Penerangan Puteri UMNO Negeri Johor Nur Diyana Ra’il apabila beliau bertemu dengan sekumpulan anak muda yang berumur 18 tahun dan 19 tahun.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Iskandar Puteri itu, sebaik sahaja kerajaan meluluskan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, pihaknya bergerak aktif mendekati kelompok berkenaan yang terdiri daripada pelajar tingkatan enam, mahasiswa dan juga yang telah berada di dalam alam pekerjaan.

Katanya lagi, sepanjang pergaulannya bersama pengundi yang berumur 18 tahun hingga 21 tahun, mereka secara umumnya sudah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hanya ilmu mengenai kepentingan mengundi sahaja perlu diperjelaskan dengan sebaiknya.

“Ada yang bertanya, “kak, mengundi nak pakai baju apa?” Soalan-soalan yang kita rasa kenapa perlu tanya soalan sebegitu… tapi inilah situasi sebenar yang berlaku pengundi 18 tahun, 19 tahun ini belum cukup ilmu (kepentingan mengundi) tapi kita tak pernah nafikan mereka ini sudah bijak memilih.

“Tanggungjawab kita sebagai ‘kakak-kakak’, ‘abang-abang’ dalam Pemuda sendiri beritahu kepada mereka kenapa perlu mengundi, apa kepentingan mengundi. Ada juga yang tanya “ini mengundi yang celup jari tu yer? …tiada mengundi online ker?” Maksudnya ada soalan-soalan yang kita tidak terfikir akan keluar daripada mereka.

“Tapi saya mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan kepada mereka maksud mengundi, apa kepentingannya, apa yang perlu dibawa semasa mengundi,” katanya dalam satu segmen temubual yang disiarkan di Facebook UMNO Online, hari ini.

Kerana itu juga katanya Puteri UMNO Malaysia mengambil inisiatif menghasilkan video cara dan proses pengundian yang betul untuk memberi kefahaman kepada golongan tersebut.

Tambah Nur Diyana, beliau percaya jika melihat kepada sudut kematangan memilih, mereka sudah matang memilih kerana terdedah dengan media sosial dan juga sedikit sebanyak merasai pengalaman di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal tunai janji-janji yang menyentuh kepentingan mereka.

Seterusnya tambah Nur Diyana, mendekati golongan tersebut adalah satu tugasan yang mencabar atas faktor jarak usia terutamanya.

“Kita sentiasa menggunakan media sosial sebagai tempat ‘lepak’ orang muda. Media sosial pun kena tengok 18 tahun, 19 tahun tak layan Facebook, lebih kepada Instagram, TikTok. Puteri UMNO Johor banyak menggerakkan Instagram, TikTok dan Twitter. Umur mahasiswa 20 tahun, 21 tahun di Twitter,” katanya.

Sebab itu juga katanya dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini yang menyaksikan golongan tersebut sebagai pengundi kali pertama, faktor calon muda atau senior bukan satu persoalan kerana yang lebih penting ialah meraikan pendapat mereka.

“Contoh, di kawasan Kota Iskandar Pandak Ahmad (calon Barisan Nasional (BN)) berusia lebih 50 tahun tetapi sangat memahami jiwa orang muda, boleh bermain bola sepak dengan anak muda 21 tahun, dekat dengan mahasiswa.

“Di dalam UMNO, BN di Johor Datuk Hasni (Menteri Besar-Hasni Mohammad) sendiri mendengar suara orang muda. Kalau berjumpa dengan orang muda, rata-rata mereka kata Datuk Hasni sangat mendengar suara orang muda. Sebab itulah di Johor sahaja ada Dewan Muda Johor, idea beliau sebagai platform melatih orang muda menjadi pemimpin pelapis,” katanya lagi.

Justeru itu katanya, berdasarkan rekod-rekod perkhidmatan BN di Johor, Nur Diyana percaya rakyat boleh menilai hanya BN yang mampu membawa kegemilangan negeri ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.