Calon MB: PH, PKR Bergolak… PN, Pejuang Ketandusan Ikon Wibawa – Razlan

KOTA TINGGI, 7 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berpandangan berlaku perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR sehinggakan calon Menteri Besar Johor masih tidak diumumkan.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang pula dilihat ketandusan ikon dalam kepimpinan mereka untuk diletakkan sebagai calon menteri besar.

“Kita mendapat maklumat ada pertembungan di antara pilihan calon menteri besar daripada lawan kita terutamanya dari segi calon PH dan PKR… PH pun ada hendak menamakan daripada Amanah dan PKR pula mahukan dari parti mereka sebab itu tidak dapat menamakan calon menteri besar untuk gabungan itu.

“Pejuang pula sebenarnya memang mereka tidak ada calon menteri besar sebab rata-rasanya calon bidan terjun, PN pula ada pertembungan di antara Pas, Bersatu serta Gerakan sebab tidak ada ikon calon yang berwibawa untuk mereka ketengahkan.

“Jelas bahawasanya parti-parti ini tidak ada calon untuk membawa negeri ke satu tahap yang lebih stabil dan lebih baik itulah masalah mereka tapi kalau ada tiga calon pun akan ada tiga gabungan besar dan mereka akan bertembungan sesama sendiri,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Sementara itu Mohd Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut melihat Ikhtiar BN Johor yang diumumkan baru-baru ini juga berupaya memberi lembaran baru pada negeri ini.

Malah katanya, perancangan yang diketengahkan itu juga adalah suatu yang ideal dan bertepatan dengan kehendak rakyat Johor berbeza dengan manifesto ditampilkan parti lawan.

“Sekarang ini kita lihat ada mood pada sokongan kepada BN ianya bukan suatu perkara yang retorik sebab rakyat tidak nampak kempen selain dari BN ini boleh dipercayai dari sudut janji.

“Baru-baru ini pun ada dua tiga manifesto yang telah dilancarkan itu tidak langsung memberikan impak kepada rakyat dan juga mereka tahu bahawasanya tidak boleh buat janji baharu sebab yang lama pun tidak ditunaikan.

“Jadi mereka terus memainkan isu negatif seperti hasutan dan tuduh menuduh sebenarnya ini tidak diperlukan oleh rakyat Johor buat masa ini sebab mereka mahu meneruskan hidup sebab COVID-19 baru mahu selesai dan ekonomi pun baru hendak bangkit jadi perkara hasat dengki ini automatik akan tolak,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.