Seluruh Jentera Main Peranan Penting Bawa Kemenangan BN – Hasni


KOTA TINGGI, 5 Mac – Keseluruhan jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memainkan peranan tersendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini bagi membawa kemenangan kepada parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Jelas beliau, segala persengketaan perlu dilupakan bagi memastikan fokus untuk mengembalikan negeri ini dapat diberikan tumpuan sepenuhnya.

“Jangan pertikaikan soal calon atau apa juga perkara yang boleh melemahkan jentera. Jangan kita lakukan perkara itu lebih-lebih lagi pada PRN ini

“Jentera-jentera pilihan raya di Johor ini tidak kira peranan atau tanggungjawab yang dimainkan daripada ketua bahagian, timbalan sampailah setiap jawatankuasa yang memegang apa juga portfolio tolong buat kerja bersungguh dan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera BN Zon Timur yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketua-ketua bahagian serta ahli jawatankuasa.

Sementara itu tambah Hasni lagi, kegemilangan negeri ini perlu dikembalikan setelah dirobek Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang telah gagal mengekalkan kecemerlangan Johor sewaktu ditadbir kepimpinan BN terdahulu.

“Kita rasa serik bahawa di bawah pimpinan PH ketika diberi mandat tadbir negeri kalau dibiarkan lama lagi johor akan tertinggal belakang.

“Johor ini ada potensi banyak sejarah, kejayaan yang dicapainya tapi sejak kerajaan PH tadbir segalanya dirobek sehingga menjadikan negeri ini tidak maju ke hadapan tapi bergerak ke belakang dalam banyak perkara.

“Kita tidak rela biarkan negeri Johor tertinggal ke belakang maka sebab itu kita adakan PRN jentera pilihn rayabukan sekadar hendak menang tapi perlu menang besar,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.