Ketua Bersatu Mersing Laili Yusof Umum Keluar Parti, Sokong BN

MERSING, 4 Mac – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mersing Laili Yusof mengumumkan keluar parti kerana telah hilang kepercayaan kepada parti itu.

Pengarah Pilihan Raya Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau itu berkata keputusan itu dibuat kerana Bersatu telah hilang prinsip perjuangan asal ditambah pula dengan isu kepimpinan parti dengan pelbagai kerenah dalaman.

“Saya Laili bin Yusof, Ketua Bahagian Ketua Bersatu Mersing merangkap Pengarah Pilihan Raya Bersatu N32 (Endau) dan rakan-rakan dengan rasa semangat tawaduk, keinsafan dan sedar dengan ini mengumumkan untuk melepaskan semua jawatan kami dan keluar dari parti Bersatu.

“Walaupun keputusan ini nampak seakan-akan terburu-buru tatkala berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini tetapi sebenarnya ia dibuat setelah ambil kira sewajarnya serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Sejujurnya saya dan rakan-rakan sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti dengan pelbagai kerenah dalaman yang berlaku sehingga Bersatu telah lari dari prinsip asalnya. Bagi kami parti Bersatu sudah tiada hala tuju yang kukuh. Kami rasakan bahawa penyertaan dan perjuangan kami selama ini untuk membela rakyat bersama Bersatu selama ini hanya sia-sia sahaja malah menguntungkan beberapa pihak yang tertentu sahaja,” katanya dalam satu sidang media di sebuah restoran di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan kepimpinan BN negeri Pahang dan tempatan.

Seterusnya, Laili turut menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan menyatakan komitmen menyokong calon BN di DUN Endau dan Tenggaroh.

“Saya harap keputusan kami ambil ini menjadi iktibar buat sahabat-sahabat lain terutama di negeri Johor yang berdaulat ini. Tidak terlambat untuk kita untuk memperbetulkan keadaan.

“Ingin kami nyatakan hasrat untuk kembali ke landasan asal sekaligus mengumumkan sokongan kami kepada calon-calon BN iaitu Youzaimi Yusof di DUN Endau dan Raven Kumar DUN Tenggaroh. Kami memilih untuk kestabilan masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.