BN Perlu Perolehi Mandat Rakyat Kembalikan Kegemilangan Johor, Bung

ULU TIRAM, 4 Mac – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melalui mendapat mandat yang kukuh untuk menerajui kembali kerajaan negeri Johor.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kemenangan dalam PRN kali ini akan mengembalikan kegemilangannya sebagai wadah buat rakyat bersandarkan kepada kepentingan dan kesejahteraan mereka.

“Di zaman BN mengemudi kerajaan negeri Johor, kita melihat negeri ini adalah antara negeri yang termaju di Malaysia dengan kemasukan pelaburan yang tinggi menjadikan Johor berkembang pesat maju dan ekonominya berkembang pesat yang turut memberikan pulangan kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan khas jentera BN Sabah dan jentera BN tempatan bersama calon-calon BN di sini.

Hadir sama Pengerusi BN Tebrau Datuk Maulizan Bujang, calon BN DUN Tiram Haji Azizul Bachok, calon BN Puteri Wangsa Ng Yew Aik, calon BN Johor Jaya Chan San San dan calon BN Permas Haji Baharudin Mohd Taib.

Bagi menghadapi PRN kali ini Bung yang juga Pengerusi BN Sabah mengajak jentera parti BN agar sentiasa fokus, usah terlalai apatah terpengaruh dengan ungkapan yang cuba mengelirukan.

“Segala strategi yang direncanakan haruslah tersusun dan tersisip kemas.

“Perjuangan kita bukan seperti dakwaan pembangkang sebagai dahagakan kuasa sebaliknya fitrah sebagai parti politik mahu diyakini rakyat dan berjuang untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata Malaysia telah menyaksikan kegagalan kerajaan 22 bulan mentadbir negara yang akhirnya tumbang dengan sendirinya.

Malah tegas beliau, ianya diteruskan juga dengan kegagalan kerajaan 18 bulan dalam menjaga rakyat sehingga memaksa UMNO campur tangan merombak kerajaan tersebut.

“Senario yang amat berbeza berbanding UMNO dikalahkan dengan propaganda pembohongan tidak bertepi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” ujarnya.

Menurut Bung beliau yakin kematangan pemikiran rakyat Johor yang melihat segala propaganda pembohongan dan kegagalan pembangkang mengurus tabir negara semasa pemerintahan mereka pada PRN kali ini dan seterusnya pada PRU-15 nanti akan kembali bersama BN.

“Kita faham dalam model kempen mereka (parti lawan) semasa PRN kali ini masih ada usaha memperlekeh kemampuan UMNO bangkit.

“Mereka enggan menerima hakikat bahawa persepsi telah berubah dan rakyat tidak lagi boleh dipermainkan dengan ilusi dan propaganda yang diulang,” ujarnya.

Jelas beliau, realitinya pada waktu ini majoriti rakyat telah pun memperakui UMNO tewas pada PRU-14 lalu adalah angkara fitnah dan tipu daya.

Menurut Bung lagi, rakyat sedar segala dasar dan polisi pentadbiran oleh UMNO dan BN terserlah tepat lagi telus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.