Jangan Terpengaruh Dengan Permainan Sentimen Politik – Khaled Nordin
JOHOR BAHRU, 1 Mac – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan pengundi di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan permainan sentimen politik yang boleh menentukan kemenangan atau kekalahan sesuatu parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Bernama TV dalam program Suara Johor baru-baru ini, bekas Menteri Besar Johor itu berkata kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 merupakan contoh terbaik bagaimana sentimen dapat merubah persepsi pengundi terhadap sesebuah parti politik.
“Walaupun UMNO ada pengundi tegar, tapi mereka tidak terkecuali daripada pengaruh fitnah dan tuduhan, malah janji melangit yang mempengaruhi sanubari pengundi tegar.
“Mereka pada waktu itu mengundi mengikut sentimen, sebab itu ada pengundi yang tidak keluar mengundi atau memberikan undi kepada parti lain, yang menyebabkan BN kalah,“ katanya.
Menurut Mohamed Khaled parti-parti lawan menggunakan sentimen untuk menimbulkan kebencian terhadap pemimpin-pemimpin BN dan UMNO.
“Parti lawan sebelum ini menggunakan sentimen untuk membuat rakyat benci pemimpin BN, kata rakyat harus bangkit dan tolak, janji bukan BN, tapi mereka bukannya hendak tunjuk perancangan…. Bila menang baru sibuk nak fikir apa harus dilakukan,
“Kami minta supaya rakyat tidak lagi ulangi kesalahan yang sama, saya ingin mengingatkan kembali rakyat, bagaimana mereka telah dijanjikan macam macam, tetapi kita semua tahu itu semua janji palsu,” katanya.
Pada PRU14, BN kalah buat pertama kalinya kalah di “kubu kuatnya” di Johor dengan hanya memenangi 19 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) dengan 36 kerusi DUN yang dimenanginya telah berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Mohamed Khaled yang tidak bertanding pada PRN Johor kali ini berkata jentera pilihan raya BN berhadapan dengan kesukaran untuk meramal “mood“ pengundi baharu dan pengundi muda dalam PRN Johor.
“Jangan dinafikan pengundi muda, jumlah mereka sangat besar. Tiada siapa tahu apa yang akan bakal berlaku dengan penyertaan pengundi muda ini,” katanya.
PRN Johor kali ini akan menyaksikan penyertaan julung kalinya pengundi berusia 18 tahun menerusi pelaksanaan UNDI18.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 13 Mac manakala undi awal akan diadakan pada 8 Mac ini. – BERNAMA