Rakyat Sabah Mengundi Di Johor Diingat Agar Tidak Tersalah Pilih Dalam PRN Kali Ini

PASIR GUDANG, 27 Feb – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan rakyat Sabah yang menetap, berkerja di Johor dan berdaftar sebagai pemilih agar memberikan sokongan padu kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kali ini.

Menurut Pengerusi BN Sabah ini beliau difahamkan ramai penduduk Sabah yang berkerja di sini dan telah menetap serta berkelurga berdaftar sebagai pemilih terutamanya di kawasan Parlimen Pasir Gudang.

“Meskipun kita sebagai pengundi minoriti namun kita boleh menentukan kemenangan calon-calon BN yang bertanding pada PRN kali ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua masyarakat dan pengundi dari Sabah yang berada di Johor.

Dalam pada itu Bung Moktar berkata penduduk Sabah yang mengundi di Johor perlu bijak membuat pilihan walaupun parti Warisan yang berdaftar di Sabah bertanding di enam buah kerusi pada PRN Johor kali ini.

“Saya nak tegaskan PRN kali ini adalah PRN untuk memilih kerajaan negeri Johor, jika ditakdirkan pun Warisan memenangi beberapa kerusi yang ditandingi ianya tidak mampu membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, menurut Bung Moktar kenyataan Presiden Warisan tentang hasrat parti tersebut bertanding pada PRN kali ini untuk menubuhkan kerajaan Malaysia supaya dapat bantu semua tidak munasabah kerana ini bukanlah PRU yang menentukan perubahan untuk kerajaan pusat.

“PRN ini kita mahu menentukan sebuah kerajaan yang stabil dan ini terbukti semasa BN memerintah Johor… politik stabil, sumber ekonomi baik, peluang pekerjaan sentiasa ada dan ini turut memberi sumber ekonomi yang baik termasuk kepada rakyat Sabah yang berkerja di sini,” Jelas Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah.

Tambah Bung Moktar, bagaimana rakyat Sabah mengundi di Johor boleh memilih sebuah parti walaupun asalnya dari Sabah jika di negeri sendiri pun parti tersebut kucar-kacir apabila ramai di kalangan ahli dan pemimpin kanan parti tersebut telah meninggalkan perjuangan bersama parti Warisan.

Malah menurut Bung Moktar semasa BN memerintah Johor, kerajaan negeri tidak meminggirkan kepentingan rakyat Sabah yang tinggal dan berkerja di sini malah melalui Ahli Parlimen Pasir Gudang telah diwujudkan Pasar Maufakat Sabah bagi memberikan peluang penduduk Sabah yang ada di sini menjalankan kegiatan perniagaan dengan memasarkan prodak prodak tempatan terutamanya dari Sabah.

” PRN Johor kali ini BN berikan tawaran terbaik demi kestabilan dan masa depan rakyat Johor dan sudah tentu juga untuk rakyat Sabah yang bermastautin, bekerja dan mengundi di sini akan turut sama menerima limpahan kebaikan dari sebuah kerajaan yang stabil, mempunyai perancangan jangka panjang untuk memakmurkan negeri,” tambah Bung Moktar lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.