Ubah Bersama BN, PRN Untuk Kestabilan Demi Masa Depan Johor – Shahril Hamdan
JOHOR BAHRU, 26 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan slogan ‘ubah’ yang seringkali dimomokkan oleh parti lawan juga kini relevan untuk digunakan UMNO/Barisan Nasional (BN).
Katanya, ini kerana BN juga sebelum ini melalui pelbagai ujian dalam berpolitik termasuk menjadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan slogan tersebut wajar digunakan sebagai petanda bagi mengubah ke arah kestabilan seperti sebelum ini.
“Berlandaskan pada realiti sebenarnya mantera perubahan itu BN pun boleh ambil kerana dahulu kita adalah status quo tidak pernah kalah, tidak pernah menjadi selain daripada kerajaan, hari ini kita telah melalui segalanya termasuk menjadi pembangkang mutlak, jadi separa kerajaan, mentadbir kerajaan sepenuhnya.
“Semua itu kita telah lalui walaupun dalam tempoh yang sedikit singkat mantera ubah itu bukannya esklusif pada Pakatan Harapan atau lawan kita… ceritanya adalah kenapa kita takut dengan mantera ubah?
“Kita hendak ubah seperti mana Sabah punya lagu ‘Ubah balik’ seperti mana yang dilakukan pada Pilihan Raya Kecil Kimanis yang membawa sinar kejayaan di situ malah ianya boleh dijadikan inspirasi untuk ubah Malaysia dan Johor ini daripada kerosakan dan kelemahan yang berlaku sebelum ini,” katanya
Beliau berkata demikian pada Wawancara PRN Johor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.
Sementara itu Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga menyeru untuk pengundi agar kembali menjadikan UMNO/BN sebagai tonggak kepada negara bagi menjamin kestabilan ke arah memastikan ekonomi dan kebajikan rakyat terjamin seperti sebelum ini.
“Ubah Johor kembali kepada keadaan kegemilangan walaupun tidak menggunakan formula yang sama kerana ianya sudah berbeza kerana dunia sudah berubah tetapi kredibiliti yang ada pada UMNO/BN dalam kepimpinannya termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad itulah yang sesuai untuk kita bawa negeri ini.
“Pastikan Johor mendepani abad ke-21 yang lebih baik jangan nak kata tidak boleh ubah kerana kita boleh ubah bersama BN bukan bersama dengan orang lain,” katanya. – UMNO Online