Tidak Bergaduh… BN Cuma Jawab Tohmahan Yang Dilemparkan Pihak Lawan Politik
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak mengamalkan pergaduhan sebaliknya hanya menjawab tohmahan dilemparkan oleh lawan politik termasuk Perikatan Nasional (PN).
Tegas Presiden UMNO itu, jika tidak dijawab bimbang ada lagi yang akan terpengaruh seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Yang telah dijawab pun tetap mereka akan putar-belitkan. Inikan kalau tidak dijawab. Maka menjadi kewajipan BN untuk mempertahankan diri dan menjelaskan yang sebenar kepada umum.
“PN baru disindir sedikit sudah melenting, tetapi bertalu-talu tohmahan ditujukan kepada BN tidak mengapa.
“Pakatan Harapan (PH) belum nampak bergaduh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana tidak ‘diserang’ oleh PN,” bidasnya lagi dalam satu hantaran di Facebook.
Apa pun tambah Ahmad Zahid, itu yang agak menghairankan sedangkan pimpinan PN sering melabelkan PH musuh umat yang nyata.
“Tetapi jadi sasaran bertubi-tubi PN kali ini adalah BN sehinggakan fitnah terhadap Pengerusi BN diulang semula.
“Mengapa terdapat perbezaan sikap PN terhadap BN dan PH untuk PRN Johor kali ini biar rakyat merumuskan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE