Pemerkasaan Wanita Johor Dinantikan Pada PRN – Norshida
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Dua tiga hari kebelakangan ini, parti lawan telah mula mengumumkan calon-calon yang mereka tandingkan di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Bagi Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim semestinya Barisan Nasional (BN) Johor juga akan mengumumkan calon dalam masa terdekat ini dan ianya dinantikan-nantikan oleh semua pihak.
“Bukan sahaja rakyat yang tertunggu-tunggu calon yang bakal bertanding mewakili BN, seluruh jentera dan akar umbi BN turut sama berada dalam debaran.
“Adakah calon yang bakal dipilih itu benar-benar menepati ciri WALI (Winnable, Acceptable & Likeable) seperti yang digariskan Presiden? Sama-samalah kita nantikan.
“Kerana jika bercakap tentang calon ia merupakan isu yang amat sangat sensitif. Segalanya mungkin terjadi, setiap pilihan ada risiko dalam keadaan politik hari ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Serentak itu, tegas beliau Wanita UMNO akan terus konsisten dan mengharapkan 30 peratus calon yang dipilih nanti adalah di kalangan calon wanita.
“Selain senarai calon yang dinanti, seperkara yang bakal menjadi perhatian juga adalah manifesto parti. Apa agaknya yang akan ditawarkan oleh BN untuk mempengaruhi rakyat mengundi BN.
“Walaupun sebenarnya BN telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai teraju kerajaan Johor tetapi tawaran manifesto juga bakal dijadikan aspek penilaian untuk pengundi.
“Datuk Ir Hasni selaku Pengerusi BN yang biasanya sinonim dengan IKHTIAR pasti tidak akan meninggalkan segala aspek serta lapisan masyarakat. Saya sangat berharap kebajikan dan pemerkasaan Wanita Johor akan menjadi salah satu IKHTIAR utama BN dalam manifesto,” ujarnya.
Begitu juga tambahnya Wanita adalah nyawa serta penggerak bukan sahaja kepada sesebuah parti tetapi juga ekonomi negeri dan jika ianya ditinggalkan aspek pemerkasaan Wanita ini, ia umpama tiada bernyawa. – UMNO Online