BN Tak Tamak Kuasa, PRN Untuk Tubuh Kerajaan Lebih Baik – Mohamad Hasan

KOTA TINGGI, 16 Feb – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak tuduhan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) tamak kuasa ekoran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar bagi memberi laluan kepada PRN.

Tegasnya, jika BN tamak maka mana mungkin Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan DUN sedangkan BN yang menjadi tampuk kerajaan negeri.

“Kita dituduh tamak kuasa sedangkan MB ada lebih 400 hari lagi (mentadbir) sehingga habis penggal… maka mengapa dia nak bubarkan DUN Johor jika tamak.

“Tetapi kerana apa MB berjaya yakinkan DYMM Sultan Johor untuk adakan PRN… ini kerana kerajaan tak boleh berterusan begini iaitu dengan kelebihan satu undi sahaja dan ada sekali dalam persidangan DUN usul hampir tak lulus jika sekiranya tidak disokong oleh Yang Dipertua Dewan. Betapa susahnya MB menguruskan pentadbiran.”

Ujarnya, DUN dibubar kerana BN mahu memberikan rakyat Johor buat pilihan untuk menentukan kerajaan yang lebih baik dengan mandat baharu.

“Janganlah fikir kita tamak atau kerana itu tak betul, kita nak bangunkan semula kerajaan dan bangkit semula untuk negara kita Malaysia.

“Johor ini adalah pintu masuk Malaysia, demam Johor maka demamlah Malaysia.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN di Pusat Operasi Zon Timur, yang diadakan di sini, malam tadi.

Hadir sama merasmikan majlis tersebut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti.

Mohamad yang juga ADUN Rantau turut melahirkan rasa pelik dengan tingkah pembangkang kerana umumnya pembangkang di luar negara akan gembira apabila DUN dibubar namun sebaliknya di Malaysia.

“Biasanya pembangkang yang akan minta bubar DUN, tapi di Johor pembangkang yang tak nak bubar… salahkan pulak MB,” katanya.

Dalam hal ini beliau mengingatkan bahawa musuh tetap musuh kerana dalam musuh tak ada kawan.

“DUN dah bubar dan kita mahu menang… jadi nak menang buatlah cara nak menang. Bila nak menang kita uruskan gerak kerja baik-baik kerana ia akan menghasilkan keputusan terbaik.”

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO/BN adalah pembela rakyat.

“Parti kita membela rakyat. Orang sekarang boleh berfikir untuk bezakan 62 tahun bawah BN, 22 bulan di bawah PH yang hancurkan negara dan 17 bulan di bawah PN yang kurung rakyat.

“Inilah sebab kita nak kembali untuk membela rakyat,” katanya lagi.

Dilaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Februari dengan pengundian pada 12 Mac. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.