BN Gabungan Terbaik Memperjuangkan Nasib Rakyat – Mahdzir Khalid
KUALA LUMPUR, 15 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Barisan Nasional adalah satu gabungan terbaik di dalam menjaga kepentingan rakyat.
Katanya di dalam satu perkongsian di Facebook, di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini BN perlu menang supaya dapat terus memperjuangkan nasib rakyat.
“’BN is the best organisation’ untuk tolong rakyat. Jadi BN perlu menang untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat.
“Sesuai dengan tagline Team Ledang #jalan_terusss, apa jua cabaran yang mendatang kita akan sama-sama bergandingan tangan memperjuangkan parti yang kita cintai,” katanya.
Pagi tadi, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengadakan pertemuan bersama jentera BN Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak.
“Selaku Naib Presiden UMNO, saya hadir pada hari ini untuk memberikan semangat kepada Team Ledang BN supaya bekerja keras agar mencapai kemenangan pada PRN Johor nanti.
“Terima kasih sahabat saya Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri dan seluruh kepimpinan UMNO dan BN Bahagaian.
“Selamat berjuang kepada seluruh jentera BN. Hidup BN,” katanya.
Seterusnya di dalam satu lagi catatan di platform media sosialnya itu, Ahli Parlimen Padang Terap itu turut singgah bertemu rakan-rakan seperjuangan dari UMNO Bahagian Muar bersama Ketua Bahagiannya Datuk Seri Razali Ibrahim di Muar.
Dilaporkan, pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian dan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO ONLINE