Ketua Pemuda PAS Nak Muafakat Atau Tak? Serangan Demi Serangan Dituju Kepada UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin berkata beberapa penipuan dilemparkan terhadap UMNO dan pemimpin-pemimpinnya melalui Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Ujarnya, secara jujur berasa kesal apabila parti yang dianggap sebagai saudara seagama dan sebangsa ‘ukhuwah fillah’ sudah mula menunjuk mereka tidak lagi ingin bermuafakat dan ingin mengorak langkah sendiri tanpa UMNO.

“Meskipun begitu, beberapa kenyataan yang dibuat Ustaz Ahmad Fadhli Shaari tidak mencerminkan ciri-ciri seorang Budiman apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan berdasarkan gosip murahan dan bukan fakta sebenar.

“Dalam siri ceramah PN di Johor. Beliau tuduh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat untuk menyelamatkan nyawa Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelasnya lagi, mungkin disebabkan Ahli Parlimen Pasir Mas itu berada di kawasannya yang jauh dari Johor maka tidak memahami hal sebenar politik di negeri itu.

“Saya terangkan sedikit atas kefahaman saya. Kerajaan Negeri punya belanjawan tidak mendapat persetujuan dari Pembangkang. Mereka yang memilih untuk berkecuali.

“Bayangkan jikalau ada usul yang penting tetapi Pembangkang ingin gagalkannya dan seorang atau dua ahli kerajaan tidak hadir ke persidangan ditambahkan lagi dengan kekosongan 1 kerusi atas pemergian Allahyarham Osman Sapian pada Disember 2021. Apa yang akan terjadi?” jelasnya.

Oleh sebab itu katanya politik Johor perlu kembali stabil.

“PAS ada ruang untuk bersama dalam memastikan bahawa ia akan stabil. Tapi PAS tidak mahu bermuafakat dan memilih jalan lain. Mereka nampaknya lebih gemar menyerang UMNO.

“Jika dilihat, Mereka (PAS) memulakan serangan demi serangan kepada UMNO. Inilah sinonimnya kot slogan PAS ‘Perkukuh MN (Muafakat Nasional), Perkasa PN’ yang hanya nampak adalah ‘Perkasa PN’,” katanya.

Tegasnya lagi, BN tidak pernah ugut untuk ‘tekan butang’ dan yang menyebutnya adalah Pengerusi PN yang juga Presiden PPBM Tan Sri Mahiaddin Yassin. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.