Suara Hati Golongan Belia Sentiasa Jadi Keutamaan Pemuda UMNO – Asyraf
JOHOR BAHRU, 18 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia konsisten mendekati golongan belia terutama dalam berhadapan dengan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pasukannya menjalankan gerak kerja semenjak awal lagi dan mendekati golongan ini melalui pelbagai medium termasuk melibatkan diri ke kelompok ini bagi memahami dah mendengar suara hati mereka.
“Kami tidak melihat undi 18 sebagai satu ancaman sebab Pemuda bukan bergerak ikut musim dan di Johor sendiri ada 1,781 cawangan. Bila saya turun ke bahagian pergi ke warung, kedai kopi di situ kita berpeluang berjumpa dengan pelbagai kelompok.
“Bila turun saya boleh tengok sama ada ketua-ketua pemuda cawangan ini sama ada mereka jenis elitis atau menjaga golongan muda ini sebab kita kena ingat orang muda ini dia rencam bukan semua jenis melayan Tik-tok atau Twitter.
“Ada juga yang minat PUBG namun masih ada suka main bola atau memancing, sampaikan ada yang saya berjumpa mereka ini ada kumpulan memanah seramai 80 orang yang menyertaikan sukan ini, jadi kita melihat kecenderungan mereka ini pelbagai,” katanya menerusi segmen FB live baru-baru ini
Sementara itu jelas Asyraf, beliau percaya bahawa memilih kerajaan kukuh adalah agenda yang penting buat rakyat di Johor ini terutama untuk golongan muda bagi memastikan masa depan mereka terpelihara sekaligus membawa negeri ke arah pembangunan berterusan.
Tidak mendabik dada, Asyraf juga optimis bahawa pengundi muda akan memilih UMNO/BN berdasarkan momentum yang ditunjukkan kelompok ini pada PRN di Melaka penghujung tahun lalu.
“Saya tidak risau kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) ada kumpulan asas contoh di Melaka semua saluran-saluran muda menang besar alhamdulillah bukan kita angkuh kerana realitinya kita sebagai pemimpin politik kena turun ke bawah dan bersama dengan rakyat.
“Sebab itu Pemuda menjadi jurubicara rakyat dalam isu-isu rakyat terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta banyak isu yang diperjuangkan Pemuda sebagai contoh pekerjaan kerana kilang banyak tutup, bagaimana hendak kembalikannya?
“Itu sebab bagi balik mandat kepada rakyat biar mereka pilih kerajaan yang stabil dan kuat sebagaimana Johor suatu ketika adalah sebuah negeri yang gemilang dan cemerlang statusnya sentiasa nombor satu dalam Malaysia bukan seperti hari ini kelapan,” ujar beliau. – UMNO Online