PRN Tak Ganggu SPM… KPM Dan SPR Perlu Sepakat Isu Penggunaan Sekolah – Ahmad Maslan
JOHOR BAHRU, 14 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menemui jalan penyelesaian berhubung penggunaan sekolah menengah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagaimanapun melalui pandangan beliau, PRN tidak mengganggu pelaksanaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana peperiksaan tersebut tidak diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Saya harap SPR akan membuat ketetapan hasil daripada kenyataan menteri KPM yang tidak membenarkan sekolah menengah menjadi pusat daerah mengundi (PDM) pada 12 Mac, Sabtu.
“Cumanya SPM tidak dijalankan pada Jumaat, Sabtu dah Ahad kerana di Johor cuti minggunya adalah berbeza berbanding negeri lain.
“Oleh itu jika dibuat SPM pada hari Sabtu, jadi saya tidak nampak bagaimana ia boleh menganggu lagi pun pengundiannya adalah di dalam kelas manakala peperiksaan pula dibuat di dewan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Ahli Parlimen Pontian itu bagaimanapun berkata beliau menghormati keputusan yang ditetapkan oleh SPR meskipun pada awalnya menjangkakan tarikh PRN adalah lebih awal berbanding yang ditetapkan pada Mac.
“Sefaham saya tarikh-tarikh itu ditentukan oleh SPR, kalau kita punya hasrat sebelum itu berharap 26 Feb pembuangan undi tapi apa hendak buat ini yang diputuskan oleh SPR jadi kita menghormati keputusan itu,” ujar beliau.
Terdahulu Menteri KPM, Datuk Radzi Jidin memberi saranan agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat membuang undi semasa PRN.
SPR sebelum ini pula menetapkan 8 Mac sebagai tarikh mengundi awal manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac 2022. – UMNO Online