Johor Berpotensi Besar Untuk Lebih Maju Dengan Kestabilan Politik – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Johor sebagai sebuah negeri yang mempunyai potensi besar untuk lebih maju ke hadapan namun ia bergantung kepada kestabilan politik.
Katanya dalam mencapai kestabilan itu, adalah amat penting untuk Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
“Setiap kerja keras harus berpandukan kepada kekuatan parti, serta jentera yang aktif di akar umbi, peranan orang muda hatta media sosial yang menjadi medium penting untuk memastikan kemenangan parti.
Saya yakin kita boleh beroleh kemenangan sekiranya kita bersatu-padu, dan saling menyokong antara satu sama lain dalam sebuah payung Barisan Nasional. Ayuh semarakkan perjuangan, Undi Barisan Nasional, PRN Johor 2022,” katanya di dalam hantaran Facebook rasminya hari ini.
Dalam hantaran itu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri turut melampirkan gambar pertemuan beliau bersama jentera BN di Dewan Putra Padang Lerek, Ledang yang disifatkannya sebagai jentera yang penuh bersemangat dalam memastikan kemenangan BN di Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA