PRN Johor: Zahid Ingatkan Hati-hati Fitnah Ala PRU-14, Propaganda Jahat Hasut Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar berhati-hatilah kerana gerak kerja fitnah ala Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU-14) sedang diulangi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, modus operandi yang sama iaitu menjadikan pimpinan BN sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.

“Daripada fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.

“Percayalah itu cuma mukadimah. Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.

“Namun mungkin ada hikmah disebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Ujarnya, rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca, yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan.

“Dan tidaklah mereka itu hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan. Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa.

“Tidak mereka peduli kesan buruk politik fitnah dan adu domba terhadap rakyat dan negara demi memuaskan serakah dan kesumat. Mereka akan bergerak dengan “full throttle” untuk PRN Johor kerana begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN.

“Bagi mereka BN bangkit di Johor bermaksud kebangkitan BN sudah tidak mampu dihalang. Justeru mereka akan lakukan apa sahaja. By hook or by crook tanpa menghiraukan halal atau haram, sama seperti PRU-14 mereka akan berusaha menamatkan kemaraan BN.”

Bagaimanapun katanya, muslihat mereka pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.

“Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018,” katanya lagi.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan esok. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.