Yakin Penuhi Kriteria Yang Digariskan, Wanita Tuntut 30 Peratus Calon Dalam PRN Johor

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Wanita UMNO menuntut agar 30 peratus calon dalam kalangan Wanita Barisan Nasional (BN) dapat dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ujar Ketua Penerangannya Datuk Norshida Ibrahim, daripada keseluruhan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh BN, jumlah tersebut hanya melibatkan 17 kerusi daripada jumlah keseluruhan kerusi.

“Wanita yakin bahawa ramai calon Wanita BN Johor mampu memenuhi kriteria calon yang digariskan oleh pucuk pimpinan BN sepertimana yang digunakan pada PRN Melaka yang lepas iaitu WALI ‘Winnable’ (boleh menang), ‘Acceptable’ (boleh diterima) dan LIkeable’ (disenangi).

“Di samping itu juga, cadangan ini sejajar dengan usaha yang jitu daripada pasukan Wanita BN yang senantiasa mengutamakan kebajikan dan membantu rakyat Johor,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Atas sebab itu ujar Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian, adalah dipohon agar pucuk pimpinan menghargai pengorbanan dan pengiktirafan sayap Wanita kepada parti.

“Wanita amat memahami bahawa keputusan meletak calon bertanding di sesuatu kawasan ditentukan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti latar belakang setempat, populasi kaum dan keupayaan calon memenangi kawasan itu.

“Dan jika wanita mampu menang, letakkanlah calon wanita untuk memastikan kemenangan BN,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.