PRN Untuk Kepentingan Rakyat, Tiada Kaitan Kluster Mahkamah

ISKANDAR PUTRI, 5 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad menolak tuduhan liar daripada pembangkang mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan kelak sebagai kepentingan politik.

Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak wajar malah beliau menerangkan PRN ini sebagai langkah yang lebih baik kepada kepentingan rakyat di negeri ini.

“Saya dituduh buat PRN kerana ikut kehendak kluster mahkamah, saya dituduh bersetuju untuk mulakan pilihan raya di peringkat nasional, saya dituduh diadakan pilihan raya untuk sekat pengundi keluar mengundi malah yang bekerja di Singapura tak boleh keluar mengundi.

“Pelbagai tuduhan dilempar tapi saya sekelumit tidak memikirkan perkara itu bahkan apa yang kita lakukan ini untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan supaya dapat membangunkan negeri ini demi rakyat berbeza dengan mereka yang hanya memikirkan berpolitik siang dan malam,” katanya.

Hasni malah mengimbau kembali ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan pusat beliau baru sahaja menjawat jawatan sebagai Menteri Besar.

Katanya, bagi mendepani situasi itu pelbagai langkah drastik terpaksa dilakukan bagi membantu rakyat yang terjejas dalam berdepan dengan PKP.

“Kita memikirkan rakyat yang tersepit payah kerana dari awal saya mengangkat sumpah Menteri Besar 28 Feb 2020 tiga minggu kemudian terus negara dikenakan PKP… selama dua tahun kita merana dengan perniagaan terjejas.

“Kerajaan terpaksa dua tahun membangunkan bajet defisit kerana terpaksa mengurangkan cukai dan memberi banyak imbuhan dan keisimewaan kepada rakyat yang susah terkesan di luar sana.

“Jadi sudah sampai masanya dan ketika di mana Johor ini perlu kita kembalikan kepada satu masa dan keadaan di mana kita merupakan negeri paling penting dalam negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.