PRN: Johor Istimewa Untuk Julang Semula BN – Ahmad Zahid

ISKANDAR PUTERI, 4 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini membawa signifikannya tersendiri dalam membawa kebangkitan BN.

Katanya ini kerana negeri ini sinonim dengan kekuatan UMNO dan kemenangan kelak bakal menjulang kembali BN.

“Pilihan raya ini bukan satu pilihan raya biasa kerana Johor membawa keunikkannya yang tersendiri… bagi saya negeri Johor ini istimewa untuk menjulang semula BN.

“Kita harus berazam dan kerja keras secara bijaksana bahawa mandat baharu yang telah diumumkan oleh Datuk Hasni Mohammad mesti diterjemahkan dengan kerja keras kita.

“Sekurang-kurangnya lima Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti dimenangi oleh calon BN di zon ini tetapi kalau semangat yang diberikan anda semua saya yakin kita akan dapat semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera BN Negeri Johor Pusat Operasi Zon Barat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut menambah bahawa ketika menjadi pembangkang selama 22 bulan BN membuktikan perpaduan diantara parti komponen merupakan teras kepada kejayaan yang telah dicapai pada tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kita lihat juga bahawa terbukti dalam PRK yang diadakan BN dalam serba kepayahan dan ketika itu seratus peratus pembangkang kita menang dengan kemenangan 7-0.

“Alhamdulillah dengan baru-baru ini di Melaka kita menang 21 daripada 28 kerusi DUN atas semangat ini maka saya amat yakin di bawah Datuk Hasni Mohammad,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.