NGO Serah Memorandum Bantah Campur Tangan AS Dalam Politik Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Pemantau Malaysia Baru (PEMANTAU), Civil & Human Rights Movement Malaysia (CHaRM) bersama beberapa NGO lain hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Presiden Amerika Syarikat berhubung campur tangan negara itu dalam politik negara ini.

Presiden PEMANTAU Datuk Lokman Noor Adam berkata, tindakan ini berikutan pendedahan yang dibuat oleh Daniel Twining iaitu salah seorang pegawai International Republican Institute (IRI) yang mendedahkan bahawa bermula tahun 2002 sehingga kini IRI dan National Endowment for Democracy (NED) telah menyalurkan bantuan kewangan serta terlibat dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ini bukan kita tuduh tetapi telah disahkan dan akui oleh Daniel sendiri. Sebenarnya secara peribadi saya juga telah mendedahkan PKR khususnya telah menerima dana daripada Amerika Syarikat. Kita juga tahu perhimpunan Bersih menerima dana dari NED dan ini jelas membuktikan dengan pendedahan yang dibuat oleh Daniel sememangnya Amerika Syarikat telah terlibat dalam konspirasi menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang sangat berwibawa.

“Kita nak beritahu, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, tidak sepatutnya ada mana-mana negara campur tangan dalam urusan politik negara ini. Sebagaimana mereka mengecam Rusia campur tangan dalam urusan politik mereka dahulu begitu juga kita.

“Hari ini kesan daripada tindakan campur tangan ini, kita telah mendapat sebuah kerajaan yang tidak boleh diharap… senang cerita tidak guna satu sen pun. Sudahlah janji tidak ditunaikan kecuali GST yang akhirnya akan membawa padah kepada rakyat kerana bakal meningkatkan kos sara hidup, dalam pada masa yang sama mereka gagal untuk mentadbir negara ini dengan baik juga telah menyebabkan kerosakan yang teruk walau baru memerintah dalam tempoh lebih kurang 120 hari,” ujar beliau kepada media selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat.

Tambah Lokman, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan ini adalah sebuah kerajaan proksi kepada Amerika Syarikat dan ini adalah sebuah kerajaan yang gagal segagalnya.

Kejayaan mereka tegasnya hanyalah ‘menjahanamkan’ ekonomi negara ini dalam tempoh yang singkat.

“BN meninggalkan bursa saham dengan 1850 mata, hari ini tinggal lebih kurang 1600 mata. Kita juga tinggalkan keadaan mata wang negara pada 9 Mei lalu pada tahap 1US bersamaan RM3.86, hari ini mata wanga kita berada pada tahap RM4.13.

“Lihatlah bagaiman mereka berjaya dengan polisi mereka yang pro kepada Europian Union untuk mendesak kononnya memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib dan akibat daripada tindakan tersebut hari ini Europian Union telah mengharamkan minyak sawit Malaysia… yang tertekan bukan Datuk Seri Najib tetapi adalah peneroka Felda dan pengusaha kelapa sawit,” ujar beliau. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit