TPM Mahu Keberkesanan Amaran MySiren Ditambah Baik

KUALA TERENGGANU, 29 Nov – Kaedah penyampaian amaran Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) perlu ditambah baik bagi memastikan isyarat berkenaan dapat didengar dengan lebih jelas oleh semua lapisan masyarakat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, MySiren adalah inisiatif Kementerian Komunikasi bagi memastikan penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Foto Harian Metro

“Dan walaupun mungkin tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kaedah supaya semua orang dapat mendengar itu akan saya bincangkan dengan Menteri Komunikasi ketika saya bertemu nanti selewat-lewatnya hari Jumaat ketika mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya selepas Majlis Perasmian Sama’ Hadis Riyadus Solihin di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara dilihat memeriksa telefon bimbitnya sejurus notifikasi amaran berkenaan diterima ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

Ujian MySiren pada jam 10.10 pagi itu turut mencetuskan bunyi amaran di dalam dewan berkenaan, membabitkan hampir 1,000 individu yang menghadiri majlis berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan kekal terkawal apabila hadirin tidak panik dan meneruskan majlis seperti biasa.

Ujian yang berlangsung 10.10 pagi hingga 10.30 pagi di seluruh negara itu akan membantu menilai keberkesanan sistem itu dalam menyampaikan amaran kecemasan serta mengenal pasti kelemahan teknikal.

MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu sebagai platform penyampaian amaran kecemasan yang lebih pantas berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sistem itu menggunakan menara telekomunikasi sebagai pemancar bagi menyalurkan amaran kepada peranti mudah alih dalam kawasan liputan terjejas tanpa perlu melalui giliran penghantaran syarikat telekomunikasi.

Pada peringkat awal, MySiren memberi tumpuan kepada amaran bencana seperti banjir dan tanah runtuh sebelum diperluaskan kepada kecemasan lain termasuk kebakaran dan kehilangan individu khususnya kanak-kanak.

NADMA bertindak sebagai pusat penyelarasan pengeluaran mesej amaran, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diberikan akses mengikut keperluan. –  HARIAN METRO

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO