Dulu Garang Desak Mansuh PTPTN, Kini Diam Membisu – Izwan Kamar

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri mempersoalkan kredibiliti Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim yang sebelum ini lantang dan begitu agresif memperjuangkan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, pendirian Adam Adli ketika ini wajar dipersoalkan kerana perjuangan yang suatu ketika dahulu begitu lantang dibawa seolah-olah tidak lagi menjadi keutamaan selepas beliau memegang jawatan dalam kerajaan.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan bahawa PTPTN merupakan sebuah institusi penting dengan mekanisme serta pelan pembiayaan yang jelas bagi membantu anak-anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“PTPTN bukan sekadar soal pinjaman, tetapi merupakan antara instrumen penting yang membuka peluang kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengejar pendidikan tinggi.

“Jangan hanya berani melaungkan slogan ketika berada di luar kerajaan, tetapi hilang suara apabila sudah duduk di kerusi kuasa.

“Jangan sampai dahulu berkokok mahu hapuskan PTPTN, tetapi hari ini apabila sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba suara menjadi lunak dan perjuangan terus senyap,” katanya.

Justeru, Adam Adli perlu tampil menjelaskan pendirian sebenar beliau terhadap PTPTN dan membuktikan bahawa perjuangan yang pernah dilaungkan dahulu bukan sekadar slogan ketika berada di luar kerajaan.

Tambah Izwan, isu pendidikan tinggi tidak sepatutnya dijadikan gelanggang untuk bermain sentimen politik kerana masa depan mahasiswa dan kebajikan peminjam PTPTN jauh lebih besar daripada kepentingan politik mana-mana individu.

“Rakyat bukan mudah lupa, mahasiswa bukan bahan eksperimen politik dan jawatan bukan lesen untuk melupakan janji sendiri. Kalau dahulu berani mencabar sistem, sekarang buktikan keberanian dengan memberikan jawapan.

“Jangan jadi jaguh ketika memburu kuasa, tetapi hilang taring apabila kuasa sudah berada di tangan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO