Kerajaan Negeri Pahang Peruntuk RM50,000 Secara Apungan Untuk TMD

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan secara apungan sebanyak RM50,000 setahun kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan Tabung Malapetaka Daerah (TMD) di sebelas daerah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan TMD merupakan salah satu komponen Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP).

“Hari ini saya menjawab soalan Ho Chi Yang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, berkaitan peruntukan Tabung Bantuan Bencana Daerah bagi setiap daerah di Negeri Pahang dari tahun 2022 hingga kini.

“Untuk makluman, tabung ini dikenali sebagai TMD, yang merupakan salah satu komponen di bawah KWAMP.

“Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan secara apungan sebanyak RM50,000 setahun kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan TMD di sebelas daerah di Pahang,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan terus memastikan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian terutamanya akibat bencana.

“Peruntukan ini penting bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian bencana selain banjir, tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan baharu bagi setiap kejadian.

“Bagi saya, keutamaan dalam pengurusan bencana adalah memastikan rakyat yang ditimpa musibah mendapat bantuan dengan segera. Sebab itu, penyediaan peruntukan secara apungan ini amat penting supaya tindakan dapat diambil dengan pantas apabila berlaku kejadian yang tidak dijangka.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memastikan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian, termasuk dalam menghadapi saat-saat sukar akibat bencana,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO