Jentera Penerangan Parti Perlu Agresif Di Media Sosial, Tampil Dengan Fakta

KUALA KRAU, 21 Nov – Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru jentera penerangan agar bertindak agresif dalam medan media sosial bagi menangkis segala tohmahan kepada parti.

Ujar Menteri Besar Pahang itu, jentera juga harus tampil dengan fakta di samping menyebarluaskan perkara-perkara positif dan usaha-usaha kerajaan di bawah pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Terutama sekali sekiranya ada pihak-pihak yang menyerang UMNO, kita perlu segera jawab dengan fakta. Kalau di Pahang ini saya fikir banyak perkara yang boleh mereka jualkan ataupun yang boleh mereka pasarkan untuk dimaklumkan kepada masyarakat ataupun pengundi-pengundi.

“Banyak sangat modalnya, aktiviti-aktiviti di negeri Pahang ini. Malahan saya boleh katakan setiap minggu kadang-kadang tiga, empat kali program. Banyak yang melibatkan bantuan, program yang melibatkan rakyat, kemajuan Pahang dan sebagainya.

“Yang pentingnya saya fikir kita kena serius, rajin dan terima hakikat bahawa platform media sosial adalah sangat penting untuk kita berhadapan dengan rakyat atau untuk kita memaklumkan kepada pengundi-pengundi kita. Sama ada kita suka atau tidak, sama ada kita mahu atau tidak, kita mesti aktifkan diri kita dengan media sosial,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Wan Rosdy merasmikan Program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kasim, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Ahli MKT UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Mengulas mengenai program jelajah penerangan tersebut, Wan Rosdy mengucapkan terima kasih kepada Azalina dan berpandangan ia satu inisiatif yang amat bagus kerana akar umbi mendapat maklumat yang terus daripada pucuk pimpinan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina, Ketua Penerangan UMNO Malaysia kerana datang ke Pahang bagi tujuan memaklumkan perkembangan semasa UMNO, persediaan, persiapan dan apa yang jentera parti harus buat untuk menghadapi pilihan raya yang mungkin akan diadakan setahun ataupun setahun lebih daripada sekarang ataupun lebih pendek daripada itu,” katanya.

Tambahnya lagi, oleh sebab itulah jentera parti perlu mengambil serius maklumat yang diberikan dan menggunakan platform media sosial dengan sebaik mungkin.

“Ahli-ahli UMNO, jentera parti harus mengambilnya secara serius kerana platform media sosial sekarang ni sangat penting untuk mendekati pengundi.

“Tidak mungkin untuk kita berjumpa dengan semua pengundi dan cara yang terbaik ialah media sosial sama ada Threads, TikTok, IG (Instagram) atau Facebook sekali pun. Jadi saya berharap dengan adanya program sebegini akan meningkatkan lagi ilmu ataupun mengaktifkan lagi ahli-ahli UMNO, jentera parti untuk secara serius aktif di dalam media sosial,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO