KLSCAH: Kaedah Penilaian Premium RM1,000 Masih Wajar Diperincikan
KUALA LUMPUR, 17 Nov – Persoalan mengenai kaedah penilaian yang menghasilkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan nilai RM1,000 masih wajar diperincikan.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Muizz Nasruddin menerusi satu kenyataan berkata, penjelasan mengenai sebab pengurangan premium tidak semestinya menjawab bagaimana jumlah RM1,000 itu dikira.

“Saya mengambil maklum penjelasan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Segambut, berhubung keputusan kerajaan menetapkan premium tanah KLSCAH pada kadar RM1,000 berbanding anggaran asal kira-kira RM4.67 juta bagi pajakan selama 99 tahun.
“Saya menghormati penjelasan tersebut dan tidak mempertikaikan kepentingan memelihara bangunan bersejarah, termasuk sumbangan KLSCAH kepada masyarakat. Namun, penjelasan mengenai sebab pengurangan premium tidak semestinya menjawab bagaimana jumlah RM1,000 itu dikira.
”Persoalan saya cukup mudah. Sekiranya anggaran premium asal adalah sekitar RM4.67 juta, apakah kaedah penilaian yang digunakan sehingga jumlah tersebut akhirnya ditetapkan pada kadar nominal RM1,000?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan telah membuat penilaian semula berdasarkan status penggunaan tanah dan berapakah nilai premium yang diperoleh melalui penilaian tersebut.
“Saya faham bahawa tanah yang mempunyai sekatan penggunaan institusi tidak boleh dinilai dengan cara yang sama seperti tanah yang mempunyai potensi pembangunan komersial.
“Adakah RM1,000 merupakan hasil pengiraan berdasarkan formula tertentu, ataupun kadar nominal yang diluluskan melalui pertimbangan khas? Kedua-duanya mempunyai asas pentadbiran yang mungkin berbeza dan wajar diperjelaskan kepada rakyat.
“Saya juga mengambil maklum bahawa keputusan tersebut dibuat melalui pertimbangan jawatankuasa penilaian dan kelulusan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan. Justeru, saya berharap kerajaan dapat menjelaskan peruntukan undang-undang, garis panduan serta kriteria yang digunakan dalam membuat keputusan berkenaan,” katanya lagi.
Tambahnya, asas pertimbangan untuk meluluskan pajakan baharu ketika ia belum tamat turut menimbulkan persoalan.
“Dalam masa yang sama, Hannah Yeoh turut memaklumkan bahawa pajakan sedia ada masih berbaki lapan tahun ketika permohonan dikemukakan. Maka timbul satu lagi persoalan. Apakah asas pertimbangan bagi meluluskan pajakan baharu selama 99 tahun ketika tempoh pajakan sebelumnya masih belum tamat? Adakah perkara ini merupakan prosedur biasa bagi institusi warisan, atau melibatkan pertimbangan khusus berdasarkan keadaan KLSCAH?
“Saya juga ingin mengetahui sama ada kemudahan dan pertimbangan yang setanding boleh diberikan kepada institusi warisan Melayu, sekolah agama, institusi tahfiz, pertubuhan kebajikan serta institusi masyarakat lain yang memenuhi kriteria kelayakan yang sama. Jika boleh, apakah saluran permohonan dan syarat yang perlu dipenuhi?
“Saya membangkitkan perkara ini bukan untuk mempertikaikan hak mana-mana kaum atau institusi. Sebaliknya, saya percaya bahawa dasar pemeliharaan warisan yang baik perlu dilaksanakan secara konsisten, telus dan terbuka kepada semua institusi yang layak,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai mekanisme pemantauan yang ditetapkan untuk memastikan penggunaan tanah tersebut kekal selaras dengan syarat pajakan dan tujuan pemeliharaan warisan.

“Selain itu, walaupun tanah KLSCAH tidak lagi boleh dibangunkan sebagai kondominium atau pusat beli-belah, saya berharap kerajaan dapat menjelaskan syarat penggunaan premis yang masih dibenarkan, termasuk aktiviti penyewaan dan penjanaan pendapatan bagi tujuan penyelenggaraan institusi.
“Saya juga mengambil maklum bahawa jumlah keseluruhan bayaran berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011, manakala kadar sewa tanah tahunan ditetapkan pada RM3,151. Perkara ini penting untuk diperjelaskan supaya rakyat dapat membezakan antara premium tanah, sewa tahunan dan caj pentadbiran.
“Saya percaya persoalan-persoalan ini boleh dijawab melalui pendedahan asas penilaian, kriteria kelayakan serta syarat kelulusan yang berkaitan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang. Bagi saya, ketelusan bukan sekadar menjelaskan mengapa sesuatu keputusan dibuat, tetapi juga bagaimana keputusan itu dicapai,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penjelasan yang lebih terperinci akan dapat memberi kefahaman kepada rakyat untuk memahami asas keputusan yang melibatkan perbezaan premium tersebut.
“Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak membuat sebarang andaian bahawa keputusan ini melanggar undang-undang atau dibuat tanpa proses yang sewajarnya.
“Apa yang saya minta hanyalah penjelasan yang lebih terperinci supaya rakyat dapat memahami asas keputusan yang melibatkan perbezaan premium hampir RM4.67 juta ini. Hannah Yeoh telah menjelaskan bahawa status tanah telah berubah daripada komersial kepada institusi. Penjelasan itu diambil maklum.
“Namun, persoalan mengenai kaedah penilaian yang menghasilkan premium RM1,000 masih wajar diperincikan. Adakah kadar tersebut berdasarkan penilaian teknikal, dasar konsesi yang tersedia kepada semua institusi layak, atau suatu pengecualian khusus? Saya berharap Hannah Yeoh dapat memberikan penjelasan lanjut.
“Ini kerana pada akhirnya yang perlu diyakinkan bukan sekadar penerima manfaat, tetapi juga rakyat bahawa setiap keputusan pentadbiran tanah dibuat secara adil, konsisten dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
