‘Double Standard’… Rakyat Kena Bayar, Zetrix Ai Boleh Berhutang?
KUALA LUMPUR, 17 Nov – Cadangan penyelesaian tunggakan kutipan berjumlah RM314 juta melibatkan Zetrix AI yang dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) menimbulkan persoalan mengenai ketelusan serta tanggungjawab syarikat berkenaan dalam menguruskan wang kutipan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, cadangan Zetrix AI untuk membayar RM100 juta sebagai bayaran pendahuluan, manakala baki RM214 juta dijelaskan secara ansuran sebanyak RM35.6 juta selama enam bulan, menimbulkan persoalan mengapa syarikat itu diberikan ruang untuk membuat penyelesaian secara berperingkat.
Beliau berkata, wang yang dikutip daripada rakyat bagi pihak JPJ sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan selepas ditolak komisen sebagaimana yang telah dipersetujui dalam kerangka perjanjian antara kedua-dua pihak.

“Persoalannya, kenapa perlu ada cadangan dan tawaran bayaran tunggakan? Bukankah wang kutipan yang diambil daripada rakyat bagi pihak JPJ itu sepatutnya diserahkan sepenuhnya selepas ditolak komisen mengikut kerangka perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada cadangan penyelesaian berkenaan merupakan usaha kerajaan untuk memberi ruang kepada Zetrix AI meneruskan peranannya sebagai ejen kutipan bagi pihak JPJ.
Menurutnya, keputusan berhubung cadangan tersebut akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat dan kerajaan perlu memastikan sebarang keputusan dibuat berdasarkan kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti.
“Adakah kerajaan cuba menyelamatkan Zetrix AI dalam isu ini dengan cadangan tawaran penyelesaian ini? Jika cadangan tersebut diluluskan, sudah tentu timbul persoalan besar mengenai pihak yang bertanggungjawab dan kemungkinan wujud campur tangan berkepentingan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Gulam Muszaffar turut menyifatkan keadaan tersebut sebagai satu bentuk layanan berbeza atau double standard, apabila rakyat perlu menjelaskan bayaran berkaitan urusan JPJ mengikut ketetapan yang ditetapkan tanpa kelonggaran tempoh tunggakan, sedangkan syarikat yang mempunyai tunggakan ratusan juta ringgit diberikan pilihan untuk membayar secara ansuran.
Beliau menegaskan kerajaan perlu memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai status tunggakan RM314 juta itu, termasuk sebab kelewatan penyerahan wang kutipan, mekanisme pembayaran serta jaminan bahawa kepentingan kerajaan tidak akan terjejas.
Mengakhiri kenyataannya, beliau turut membandingkan pendekatan kerajaan ketika ini dengan pentadbiran terdahulu dan mempersoalkan sikap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang didakwa kurang lantang membangkitkan isu berkenaan.
“Kalau perkara ini berlaku pada zaman BN, lunyai jawabnya. Tetapi apabila berlaku pada zaman Kerajaan Madani, lain pula jawapannya. Ahli-Ahli Parlimen PH juga seolah-olah tidak berani bersuara dalam isu ini,” katanya.
Beliau berharap kerajaan tidak mengambil mudah perkara tersebut dan memastikan setiap sen wang kutipan rakyat diuruskan secara telus, bertanggungjawab serta mengikut perjanjian yang telah ditetapkan. – UMNO Online
