KLSCAH: Atas Asas Apa Kerajaan Setuju Tetapkan Premium RM1,000?

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan asas kerajaan bersetuju untuk menetapkan nilai premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada kadar RM1,000.

Ujarnya, rakyat berhak mengetahui mengenai dakwaan bahawa KLSCAH mencatat defisit RM400,000 dengan menunjukkan penyata kewangan beraudit.

“Saya akan jawab satu persatu kenyataan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. Apa yang ditanya mudah sahaja iaitu kenapa premium untuk tempoh 99 tahun yang dinilai pada RM4.67 juta dikurangkan kepada RM1,000?

“KLSCAH dikatakan mencatat defisit RM400,000 setahun. Kalau angka itu dijadikan alasan untuk mengurangkan premium, tunjukkan penyata kewangan beraudit. Rakyat berhak tahu sama ada angka itu merujuk kepada operasi bangunan atau keseluruhan persatuan.

“KLSCAH juga dikatakan rela menukar status tanah kepada institusi dan melepaskan potensi membina kondominium atau pusat beli-belah. Bangunan itu sudah berstatus warisan sejak 2007. Jadi, apakah hak pembangunan yang masih ada sebelum pertukaran status itu, dan apakah yang sebenarnya dilepaskan?” soalnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, rakyat turut mempersoalkan pertimbangan kerajaan dalam memberikan kelonggaran misalnya dalam soal Projek Perumahan Rakyat (PPR).

”Kenapa rakyat tak boleh bangkitkan soal PPR? Rakyat faham premium tanah dan sewa rumah ialah dua perkara berbeza. Apa yang rakyat persoalkan ialah pertimbangan kerajaan dalam memberi kelonggaran. Apabila penghuni PPR susah nak bayar sewa, tindakan boleh diambil.

“Dalam kes ini, premium RM4.67 juta boleh turun hampir 100 peratus. Kalau diskaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada peniaga dijadikan contoh, jelaskan bagaimana diskaun 50 peratus selama dua tahun boleh dibandingkan dengan pengurangan hampir 100 peratus bagi premium untuk tempoh 99 tahun.

“Soalannya dari awal tentang angka, syarat dan asas keputusan. Kenapa pula isu kaum dibawa masuk? Kalau keputusan kerajaan terdahulu dijadikan sandaran, apa yang kerajaan Madani buat secara berbeza atas nama reformasi? Terbitkan penilaian asal, alasan pengurangan premium dan syarat yang dikenakan.

“Kalau tujuan kerajaan ialah memelihara warisan, adakah kerajaan menilai pilihan untuk mengambil alih bangunan itu, menjaganya dan membuka akses percuma kepada orang ramai? Dalam keputusan yang dibuat sekarang, apa jaminan akses awam dan siapa yang menanggung kos penyelenggaraan?” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Hannah Yeoh menjawab setiap persoalan yang diberikan tanpa menyimpang.

“Akhir sekali, kalau operasi bangunan itu benar-benar defisit RM400,000 setahun dan tanah itu dikatakan tiada nilai komersial, kenapa KLSCAH mahu terus memegangnya selama 99 tahun lagi? Atas asas apa kerajaan bersetuju menetapkan premiumnya pada RM1,000?

“Mohon YB Menteri jawab setiap soalan yang diberikan, jangan pusing sana sini tuduh orang penunggang agama pula,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO