BN-PN Lendu Sepakat, Fokus Hari Mengundi – Abdul Hakim
LENDU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menyeru seluruh jentera parti, termasuk Perikatan Nasional (PN), supaya terus mempergiat gerak kerja dan memastikan segala persiapan berjalan lancar sehingga hari pengundian pada 14 November ini.
Beliau berkata, amanat Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh jelas mengingatkan semua jentera agar tidak mengendurkan usaha, sebaliknya terus bekerja sehingga proses pengundian selesai.
Katanya, dalam tempoh dua hari terakhir kempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu pengundi yang masih belum berkesempatan ditemui, selain mengajak pengundi yang berada di luar Melaka supaya pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Saya yakin masih ada pengundi yang berada di luar kawasan dan belum pulang. Justeru, saya menyeru mereka yang berada di luar Melaka supaya merancang perjalanan dan pulang pada 13 November, khususnya pada sebelah petang, bagi membolehkan mereka mengundi pada 14 November.
“Saya berharap seluruh pengundi yang berdaftar di DUN Lendu dapat keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian,” katanya kepada media, hari ini.
Abdul Hakim yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka, turut menghargai sokongan serta pandangan yang diberikan PN dalam usaha memperkukuh kerjasama politik di peringkat DUN Lendu.
“Untuk DUN Lendu ini saya amat menghargai pertolongan dan pandangan Perikatan Nasional (PN). Kita telahpun membuat perjumpaan di peringkat DUN dan kerjasama yang ditunjukkan sangat positif buat BN.
“Penyatuan ini juga adalah penyatuan yang sangat ditunggu oleh semua khususnya orang Islam, walaubagaimana pun BN tidak pernah meninggalkan kaum-kaum lain untuk bergerak dalam satu penyatuan yang sudah lama ditunggu,” ujarnya. – UMNO Online
