Tolak Kempen Negatif, Jentera UMNO Putrajaya Bantu Calon BN

MELAKA, 1 Nov – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan,menyeru seluruh jentera UMNO Putrajaya agar terus memperkukuh gerak kerja dalam membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mengutamakan kempen yang sihat, matang dan berhemah.

Beliau menegaskan bahawa kempen negatif yang berunsurkan provokasi, serangan peribadi, fitnah dan tuduhan tidak berasas perlu ditolak kerana pendekatan sedemikian tidak membawa manfaat kepada rakyat, malah boleh menjejaskan keharmonian serta imej perjuangan parti.

Sebaliknya, beliau mahu seluruh jentera terus mengekalkan pendekatan berhemah yang sememangnya menjadi budaya perjuangan UMNO, iaitu mendekati rakyat dengan penuh kesantunan, menyampaikan fakta serta menawarkan penyelesaian terhadap isu dan permasalahan yang dihadapi masyarakat.

“Kita tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk meyakinkan rakyat. Biarlah kekuatan kita dinilai melalui kerja, khidmat, pengalaman dan tawaran yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Tolak kempen negatif, sebaliknya teruskan pendekatan yang berhemah dan matang,” katanya.

Menurut beliau, kempen pilihan raya bukan sekadar usaha mendapatkan sokongan, tetapi juga peluang untuk memperlihatkan kematangan politik, keikhlasan dan kesungguhan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa seluruh jentera UMNO Putrajaya perlu memainkan peranan secara bersama dan tidak sekadar menjadi pemerhati.

“Setiap tenaga, masa dan komitmen amat diperlukan bagi memastikan gerak kerja membantu calon-calon BN berjalan dengan lancar dan tersusun.

“Jentera UMNO Putrajaya mesti sama-sama bekerja. Kita turun padang, bantu apa yang termampu dan berikan sokongan sepenuhnya. Jangan ada yang merasakan perjuangan ini hanya tanggungjawab individu tertentu. Kemenangan memerlukan kesepakatan dan kerja berpasukan.”

Beliau turut menyeru agar semangat setiakawan dan disiplin parti terus dipelihara sepanjang tempoh kempen. Perbezaan pandangan politik perlu diraikan secara matang tanpa mengorbankan nilai hormat-menghormati.

Tambah beliau, kekuatan UMNO terletak pada kesatuan ahli, kesungguhan jentera serta keupayaan parti mendekati rakyat melalui pendekatan yang mesra dan meyakinkan.

“Kita mahu rakyat melihat UMNO sebagai sebuah parti yang matang, berpengalaman dan sentiasa mengutamakan khidmat. Teruskan bekerja dengan penuh semangat, jaga adab dalam berkempen dan bersama-sama kita bantu kemenangan calon BN di Melaka.”

Beliau berharap seluruh jentera UMNO Putrajaya dapat mengekalkan momentum, memperkukuh kerjasama dan memberikan komitmen terbaik sehingga berakhirnya tempoh kempen.

“Berpolitik biarlah dengan adab, berkempen biarlah dengan fakta dan berjuang biarlah dengan semangat kebersamaan. Kita fokus kepada kemenangan melalui usaha yang baik dan pendekatan yang disenangi rakyat,” katanya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO