Politik Konten PH … Tiba-tiba Muncul Waktu Pilihan Raya

MELAKA, 1 Nov – Pendekatan kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mengetengahkan kejayaan menyelesaikan isu rakyat dalam tempoh singkat menimbulkan persoalan mengenai penggunaan kemudahan dan sumber kerajaan bagi kepentingan politik.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang mempromosikan kejayaan menyelesaikan isu penalti cukai Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat berjumlah RM70,000 dalam tempoh hanya dua hari, sedangkan isu berkenaan didakwa berlarutan selama tujuh tahun.

Menurutnya, calon berkenaan turut berkongsi bahawa usaha itu mendapat perhatian Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, termasuk tandatangan beliau pada surat berkaitan untuk tindakan susulan.

“Kalau benar usaha itu dapat membantu persatuan nelayan, kita tidak ada masalah. Kebajikan nelayan memang perlu dibela.

“Tetapi, persoalannya, mengapa perkara seperti ini perlu dijadikan bahan publisiti politik? Apakah status sebenar kelulusan tersebut? Adakah ia sudah dimuktamadkan atau masih melalui proses pentadbiran?” katanya dalam satu kenyataan.

Ruzaini turut mempersoalkan kedudukan calon berkenaan sehingga diberikan perhatian bagi menyelesaikan isu itu, sambil menyifatkan tindakan mengetengahkan kejayaan tersebut ketika kempen pilihan raya sebagai usaha meraih undi.

Beliau berkata, persoalan sama turut timbul berhubung dakwaan pengagihan kotak makanan kepada penduduk di Kuala Linggi yang dikatakan menggunakan kotak daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Katanya, pihak berkaitan perlu menjelaskan siapa yang meluluskan pengeluaran kotak makanan itu, program rasmi kementerian yang membiayainya serta kaedah pemilihan dan pengagihan penerima.

“Kita tidak mempertikaikan bantuan makanan kepada rakyat. Tetapi bantuan yang menggunakan sumber kerajaan mesti jelas dari segi peruntukan, kelulusan dan kaedah pengagihan.

“Jangan sampai timbul persepsi bahawa kemudahan kementerian boleh dimanfaatkan sebagai bahan publisiti seseorang calon,” katanya.

Dalam pada itu, Ruzaini turut membangkitkan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Melaka yang dibuat ketika majlis pengumuman calon serta pelancaran jentera pilihan raya PH.

Menurutnya, walaupun Anthony menjelaskan bantuan itu bukan khusus untuk Melaka, sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara susulan pengumuman Belanjawan 2027 dan menggunakan hasil jualan nombor pendaftaran khas siri H, kewajaran mengaitkan pengumuman bantuan kerajaan dengan pentas politik tetap perlu diperjelaskan.

“Apabila semua perkara ini berlaku dalam suasana pilihan raya, rakyat berhak bertanya, di manakah garis pemisah antara tanggungjawab kerajaan dengan kepentingan politik calon dan parti?” katanya.

Ruzaini berkata, PH yang sebelum ini lantang memperjuangkan integriti, ketelusan dan menentang penyalahgunaan kuasa serta penggunaan aset kerajaan untuk kepentingan politik perlu konsisten mempertahankan prinsip sama ketika berada dalam kerajaan.

Katanya, prinsip dan akauntabiliti tidak sepatutnya berubah mengikut pihak yang sedang memegang kuasa, termasuk apabila isu penggunaan kemudahan kerajaan membabitkan parti sendiri.

“Jangan sampai bantuan kerajaan dianggap sebagai jasa peribadi calon. Jangan sampai kemudahan kementerian dilihat sebagai kelebihan kempen.

“Dan jangan sampai tandatangan Perdana Menteri dijadikan ukuran kehebatan seseorang individu tanpa penjelasan mengenai proses dan kelulusan sebenar,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat Kuala Linggi dan seluruh Melaka berhak mendapatkan penjelasan terbuka bagi memastikan setiap peruntukan wang awam serta kemudahan kerajaan diuruskan secara adil dan mengikut peraturan.

“Politik bukan sekadar siapa paling banyak menghasilkan konten. Politik juga menuntut ketelusan, kebertanggungjawaban dan konsistensi dalam mempertahankan prinsip.

“Kalau dahulu menentang penggunaan aset kerajaan untuk kepentingan politik, hari ini prinsip yang sama mesti dipertahankan. Itulah ukuran sebenar ketelusan dalam sebuah kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO