Kesiagaan Tinggi, Semangat Jentera BN Jadi Modal Kempen – Mahdzir

PANTAI KUNDUR, 1 Nov – Jentera Barisan Nasional (BN) berada pada tahap kesiagaan tinggi dengan semangat dan motivasi yang cukup baik bagi memastikan calon yang diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti mendapat sokongan padu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keyakinan itu berdasarkan semangat jentera yang bersedia menggerakkan kempen bagi memastikan mesej dan tawaran BN sampai kepada rakyat.

Jelasnya, cabaran kempen kali ini turut melibatkan permainan persepsi serta serangan menerusi media sosial yang berpotensi mencetuskan suasana politik yang tidak sihat sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

“Dari segi moralnya, kempen BN telah berada pada tahap kesiagaan yang tinggi, semangat yang baik dan mereka mahu melihat calon yang telah diutuskan oleh pucuk pimpinan mendapat sokongan.

“Dalam kempen PRN Melaka, sudah pasti banyak persepsi dimainkan dan jentera BN perlu menjawabnya, terutamanya menerusi media sosial. Sudah pasti akan berlaku perang media sosial yang boleh membawa kepada suasana tidak sihat.

“Rakyat mempunyai ruang untuk menilai sendiri prestasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, khususnya berdasarkan rekod perkhidmatan dan pencapaian wakil rakyat sepanjang mentadbir kawasan masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Tetap menjelaskan, jentera serta penyokong parti tidak boleh membiarkan sebarang tuduhan atau dakwaan melampau tanpa penjelasan, sebaliknya perlu tampil memberikan penerangan yang tepat dan berfakta.

“Sekiranya perkara yang dimainkan dalam media sosial itu terlalu melampau, jentera dan penyokong parti perlu memberikan penerangan sejelas-jelasnya terhadap perkara yang dibangkitkan atau dituduh.

“Permainan persepsi ini bukan perkara baharu dalam politik. Ia sudah menjadi sebahagian daripada strategi kempen, namun rakyat perlu diberikan maklumat yang betul supaya mereka dapat membuat penilaian secara matang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, usaha dua parti besar Melayu, UMNO dan Pas, menjadi rakan strategik dalam pilihan raya merupakan perkembangan yang baik serta mempunyai kesan besar terhadap landskap politik negara.

“Kerjasama antara BN dan Pas menerusi pendekatan rakan strategik berpotensi mencetuskan gelombang sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu, sekali gus menjadi cabaran kepada pihak yang bertanding menentang mereka.

“Ini sebenarnya perkara yang sukar diterima oleh pihak lain yang mahu melawan kerana mereka tahu apabila UMNO dan Pas, ataupun BN serta PN, menjalinkan kerjasama, ia boleh memberikan satu gelombang kepada masyarakat Melayu itu sendiri.

“Pada masa sama, pendekatan rakan strategik BN dan Pas juga boleh diterima oleh kaum lain termasuk masyarakat Cina, India serta rakan-rakan yang lain,” ujarnya.

Mengulas pendirian berhubung kerjasama berkenaan, Mahdzir menegaskan bahawa apa juga keputusan berkaitan strategi politik dan hubungan antara parti merupakan bidang kuasa pucuk pimpinan yang perlu dihormati oleh seluruh anggota parti.

“Setiap keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi perlu diterima dengan hati terbuka demi memastikan kesatuan dan kekuatan parti terus dipelihara,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO