BN Perlu Bentuk Kerajaan Melaka Yang Kuat Dan Kukuh
TANGGA BATU, 31 Okt – Matlamat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar memastikan kemenangan calon, sebaliknya membentuk kerajaan negeri yang kuat dan kukuh bagi menjamin kesinambungan pembangunan serta kemajuan negeri itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri yang stabil dan berkemampuan amat penting bagi memastikan Melaka terus maju, berjaya serta mampu memperjuangkan kepentingan dan memenuhi aspirasi masyarakat.

“Kita bukan semata-mata nak pastikan Datuk Rais Yasin menang. Tetapi yang lebih penting, kita nak pastikan di negeri Melaka ini kita dapat bentuk kerajaan yang kuat dan juga kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena proses penamaan calon di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengalaman kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Ab Rauf Yusoh menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memastikan kesinambungan pentadbiran negeri pada masa hadapan.
Beliau berkata, BN berhasrat membentuk sebuah kerajaan yang teruji, berwawasan dan berkemampuan untuk meneruskan agenda pembangunan serta memenuhi keperluan rakyat.
“Dan inilah antara matlamat kita untuk negeri Melaka supaya Melaka terus maju, Melaka terus berjaya, Melaka dapat terus memperjuangkan kepentingan dan juga hasrat matlamat masyarakat yang terdapat dalam negeri Melaka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesinambungan kepimpinan menjadi semakin penting dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, termasuk perkembangan geopolitik yang memberi kesan kepada persekitaran pentadbiran dan pembangunan.

“Kita tahu masa kini dan akan datang keadaannya sangat-sangat tercabar. Kita tahu kita berhadapan dengan pelbagai keadaan, isu geopolitik, sebagainya.
“Atas sebab itulah kita perlu sebuah kerajaan negeri yang sangat-sangat kuat supaya dapat menangani semua perkara tersebut,” katanya.
Beliau yakin kemenangan Datuk Rais Yasin akan memberi sumbangan penting kepada pentadbiran negeri Melaka sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri.- UMNO Online
