BN Masjid Tanah Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi PRN
MASJID TANAH, 27 Okt – Semangat perjuangan jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah mula dizahirkan menerusi Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya yang menjadi simbol kesiapsiagaan parti dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Menghimpunkan barisan kepimpinan, jentera parti serta anggota di pelbagai peringkat, majlis berkenaan menjadi medan memperkukuh tekad untuk menggerakkan perjuangan BN secara lebih tersusun dan berfokus.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Melaka Maju Jaya dan BN sebelum dimulakan dengan ucapan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka dalam ucapan mengingatkan bahawa persiapan pilihan raya bukan sekadar tertumpu kepada tempoh kempen, sebaliknya perlu disokong dengan rekod khidmat bakti yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, acara kemuncak menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan pelancaran jentera pilihan raya BN Parlimen Masjid Tanah.
Presiden UMNO itu dalam ucapan turut menyeru seluruh jentera parti supaya memperkukuh kesepaduan dan meningkatkan usaha bagi mempertahankan kelima-lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah.
Untuk rekod, Parlimen Masjid Tanah merangkumi lima kawasan DUN, iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Dalam pada itu, penyerahan bahagian turut diberikan dengan Selangor dan Negeri Sembilan untuk ditugaskan membantu jentera BN di Parlimen Masjid Tanah. – UMNO Online
