Pencapaian Kerajaan BN Jadi Asas Tawaran Di Melaka – Ahmad Zahid
MELAKA, 25 Okt – Pencapaian pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Melaka perlu dijadikan asas untuk menawarkan masa depan yang lebih baik kepada rakyat, dengan penekanan terhadap peluang pekerjaan, pemilikan rumah, pembangunan ekonomi serta peningkatan kemudahan asas.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rekod pencapaian kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN membuktikan keupayaan gabungan itu membawa kemajuan yang perlu diteruskan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Command Centre BN Melaka, MITC, di sini malam tadi, beliau berkata Melaka mencatatkan lebih RM43 bilion pelaburan diluluskan sepanjang 2021 hingga 2025.
Menurutnya, sektor pelancongan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila lebih 15.9 juta pelancong mengunjungi negeri itu tahun lalu, sekali gus menjana pendapatan pelancongan melebihi RM14.9 bilion.
“Ekonomi Melaka juga terus berkembang, dengan nilai KDNK mencecah RM50.3 bilion pada tahun lalu pencapaian tertinggi dalam tempoh sedekad,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pencapaian berkenaan bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya menjadi bukti bahawa kepimpinan yang berkesan mampu membawa manfaat kepada rakyat dan membuka ruang kepada pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Saya sebutkan ini bukan nak kita semua mendabik dada tetapi hasil sentuhan kepimpinan BN, insya-Allah akan terus memberi nikmat kemajuan kepada semua negeri yang ditadbirnya,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan Melaka bukan hanya terletak pada keluasan wilayahnya, tetapi juga potensi besar dalam sektor pelancongan, perindustrian, warisan dan kedudukan strategiknya yang perlu dimanfaatkan bagi menjana pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata, pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada tawaran yang memenuhi keperluan sebenar rakyat, termasuk menyediakan pekerjaan dengan pendapatan lebih baik, membantu keluarga muda memiliki rumah sendiri serta membuka peluang kepada peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan.
“Anak muda mahu pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik. Keluarga muda mahu memiliki rumah sendiri. Peniaga kecil mahu perniagaan berkembang. Orang kampung pula mahu jalan yang baik, lampu yang terang, kemudahan kesihatan dan perkhidmatan yang cekap,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan kepentingan memperluas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kemahiran digital serta peluang keusahawanan bagi memastikan anak muda Melaka dapat membina masa depan di negeri kelahiran sendiri.
“Kita mahu mereka mempunyai pilihan kerjaya yang baik dan peluang untuk berjaya di tanah kelahiran sendiri. Kita mahu perniagaan desa berkembang dan anak muda boleh berjaya dari kampung sendiri,” katanya.
Menurut beliau, semua usaha berkenaan memerlukan mandat rakyat supaya agenda pembangunan dapat diteruskan, sekali gus memastikan kemajuan ekonomi negeri memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh jentera BN supaya menjadikan rekod pentadbiran sebagai kekuatan utama dalam mendekati pengundi, selain memastikan setiap pencapaian kerajaan negeri disampaikan secara meluas kepada rakyat.
“Kekuatan kita ialah rekod mentadbir yang boleh dinilai oleh rakyat. Ini kelebihan kita. Cerita kepada semua orang Melaka. Biar orang Melaka tahu apa yang telah kita lakukan dan apa yang mahu kita teruskan,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan tidak boleh dianggap mudah, sebaliknya memerlukan usaha bersungguh-sungguh, gerak kerja tersusun dan kesatuan seluruh jentera di setiap peringkat.
“Percayalah, kemenangan tidak datang bergolek. Kemenangan hanya akan menjadi milik kita apabila kita turun bekerja, menawan hati rakyat dan menyatukan sokongan rakyat bersama BN ,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, seluruh jentera perlu mengetepikan perbezaan dan menggembleng kekuatan bersama bagi memastikan perjuangan BN terus mendapat kepercayaan rakyat pada PRN Melaka Ke-16.
“Semua usaha ini memerlukan mandat rakyat untuk diteruskan. So, the work must start now! Kerja kita mesti mula sekarang!
“Pada 14 November nanti, kita menangkan BN dan kita sekali lagi bawa Melaka lebih jauh,” katanya.- UMNO Online
