Ahmad Zahid Turun Padang Bersama Warga Bagan Datuk

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk meluangkan masa pulang ke kawasan bagi memeriahkan Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,700 peserta.

Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan acara larian itu melibatkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (KM), 10KM dan 21KM, selain turut disertai 37 peserta antarabangsa dari tujuh negara.

“Alhamdulillah, awal pagi tadi saya sempat pulang ke Bagan Datuk untuk bersama-sama warga di sini memeriahkan Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk 2026.

“Menariknya, acara larian kali ini telah mengumpulkan lebih kurang 1,700 orang peserta bagi kategori 5KM, 10KM dan 21KM, termasuk 37 peserta antarabangsa dari tujuh buah negara.

“Insya-Allah, kita akan terus hidupkan Bagan Datuk dengan lebih banyak program seperti ini dan bawa lebih ramai orang datang merasai sendiri apa yang istimewa tentang Bagan Datuk,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menghadiri majlis perkahwinan anak sahabatnya, Datuk R. Supramaniam, iaitu Shanthiran dan Dhaarshini di Hutan Melintang.

Beliau berkata, kepulangannya ke Bagan Datuk turut memberi peluang untuk bertemu rakan-rakan, bertanya khabar dan meluangkan masa bersama mereka.

“Semasa di Bagan Datuk, saya sempat memenuhi undangan sahabat saya, Datuk R. Supramaniam ke majlis perkahwinan anakandanya, Shanthiran dan Dhaarshini di Hutan Melintang.

“Bila dah balik Bagan Datuk, memang seronok dapat jumpa dengan kawan-kawan. Sempat juga bertanya khabar dan bersembang sekejap.

“Tahniah saya ucapkan kepada Shanthiran dan Dhaarshini. Semoga ikatan yang dibina kekal bahagia dan saling melengkapi hingga ke akhir hayat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO