Visit Sabah 2027: Kerjasama Semua Pihak Kunci Perkasa Potensi Pelancongan
KOTA KINABALU, 20 Okt – Kerjasama erat antara kerajaan, persatuan kebudayaan, institusi pendidikan dan pemain industri menjadi kunci dalam memperkasakan potensi pelancongan Sabah menjelang kempen Visit Sabah 2027.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penglibatan semua pihak penting bagi memastikan keunikan budaya, produk pelancongan serta mutu perkhidmatan hospitaliti negeri terus diperkukuh dan mampu menarik lebih ramai pengunjung.
“Bersama kita terus memperkasakan potensi Sabah menjelang Visit Sabah 2027. Sinergi antara kerajaan, persatuan kebudayaan, institusi pendidikan dan pemain industri amat penting untuk memastikan sektor pelancongan, kebudayaan dan hospitaliti negeri terus berkembang serta berdaya saing,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian selepas menerima empat kunjungan hormat daripada wakil persatuan, institusi pendidikan dan pemain industri berkaitan pelancongan, kebudayaan serta hospitaliti di Sabah.
Kunjungan pertama daripada Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, yang diwakili Timbalan Presidennya bagi pihak Datuk Ruslan Muharam, turut menyentuh kepentingan memelihara warisan dan identiti masyarakat tempatan.
Jafry merakamkan penghargaan atas jemputan untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Janang Gayuh, sambil menekankan bahawa warisan budaya merupakan antara aset penting yang boleh memperkayakan pengalaman pelancong di Sabah.
Beliau seterusnya menerima kunjungan hormat daripada Perkasa Hotel bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan industri perhotelan, termasuk usaha meningkatkan mutu perkhidmatan, daya saing dan pengalaman pengunjung.
Turut mengadakan kunjungan hormat ialah wakil Sabah Hospitality Fiesta daripada ATI College yang berkongsi mengenai penganjuran program berkenaan.
Jafry turut merakamkan penghargaan atas jemputan untuk menyempurnakan majlis perasmian program itu, yang diharap dapat menjadi platform mengetengahkan bakat dan potensi generasi muda dalam industri hospitaliti.
Kunjungan hormat terakhir daripada Chan Kay Yi, wakil Xplore SABAH, pula membuka ruang perbincangan mengenai usaha memperluas promosi destinasi dan memperkenalkan keunikan produk pelancongan Sabah kepada pasaran lebih luas.
Menurut Jafry, kerjasama pelbagai pihak perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap aspek pembangunan pelancongan, daripada pemeliharaan warisan budaya hingga peningkatan kualiti perkhidmatan, dapat bergerak seiring.
Usaha berkenaan penting dalam memantapkan persediaan negeri menjelang Visit Sabah 2027, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Dengan semangat kerjasama dan komitmen bersama, kita mampu mengangkat keunikan Sabah ke peringkat lebih tinggi serta memastikan pembangunan sektor pelancongan memberi manfaat kepada rakyat dan komuniti tempatan,” katanya lagi. – UMNO Online
