Martabatkan Undang-undang, Jangan Jadikan Senjata Politik

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh dipermainkan atau dijadikan modal politik mengikut kepentingan pihak tertentu.

Beliau mempersoalkan kewajaran desakan supaya Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara mengambil tindakan pendakwaan tertentu, sedangkan keputusan berkaitan pendakwaan seharusnya berlandaskan undang-undang dan pertimbangan profesional, bukannya tekanan politik.

Menurutnya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan secara konsisten dan tidak boleh hanya dilaungkan apabila sesuatu keputusan memihak kepada kumpulan tertentu.

“Undang-undang bukan menu politik untuk dipilih apabila menguntungkan, lalu ditolak apabila tidak menyebelahi pihak sendiri. Jika benar kita mahu mempertahankan kedaulatan undang-undang, prinsip itu mesti dihormati tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya.

Suhaimi turut membangkitkan persoalan mengenai pendirian pihak yang mendakwa memperjuangkan kebebasan institusi, tetapi pada masa sama dilihat mendesak campur tangan politik dalam urusan pendakwaan.

Katanya, tindakan sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa keputusan pendakwaan perlu menunggu arahan politik, sekali gus mengundang persoalan terhadap kebebasan dan kewibawaan institusi berkaitan.

“Kita tidak boleh bercakap soal kebebasan institusi, tetapi pada masa sama mencetuskan persepsi bahawa pendakwaan perlu tunduk kepada tekanan politik. Di manakah prinsip kedaulatan undang-undang jika keputusan pendakwaan mahu ditentukan oleh kehendak politik?” soalnya.

Mengulas pandangan terbuka Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berhubung kes Yayasan Akalbudi yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,Suhaimi menegaskan bahawa sebarang desakan pendakwaan tidak seharusnya dijadikan medan untuk menguji kekuatan politik atau memenuhi tuntutan pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau berpandangan semua pihak perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang dan fakta yang berkaitan, tanpa tekanan atau campur tangan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa prinsip sub judice perlu dihormati sekiranya sesuatu perkara masih dalam prosiding mahkamah, bagi mengelakkan kenyataan awam yang berpotensi mempengaruhi perjalanan keadilan.

“Jangan kerana tidak berpuas hati dengan sesuatu perkembangan, kita mahu mengheret Perdana Menteri untuk mengarahkan pendakwaan. Undang-undang mesti berjalan berdasarkan prinsipnya, bukannya mengikut kehendak atau kemarahan politik mana-mana pihak.”

Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar berkisar kepada individu atau parti politik, sebaliknya menyentuh persoalan lebih besar mengenai konsistensi dalam mempertahankan kebebasan institusi dan integriti sistem perundangan negara.

Beliau menegaskan bahawa prinsip keadilan hanya akan diyakini rakyat sekiranya undang-undang dilaksanakan secara adil, telus dan tanpa pilih kasih, bukannya dijadikan alat untuk menekan lawan atau melindungi sekutu politik.

“Kalau kita benar-benar menghormati undang-undang, hormatilah prosesnya. Jangan hanya menuntut tindakan apabila ia menguntungkan politik sendiri, tetapi mempertikaikannya apabila keputusan tidak menepati kehendak kita.”

Suhaimi berkata, kematangan politik seharusnya diukur melalui kesediaan semua pihak menghormati proses undang-undang, termasuk ketika berdepan keputusan yang tidak memenuhi jangkaan atau kepentingan politik masing-masing. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO