Kerajaan Johor Pandang Serius Kematian Pelajar Perempuan Di Yong Peng

JOHOR BAHRU, 4 Okt – Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, pada petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan menzahirkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata, siasatan berhubung insiden berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar terbabit.

“Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan dan kebajikan murid di kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang berpotensi mengganggu proses siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat turut diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.

Kedua-dua agensi berkenaan juga diminta memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa serta komuniti sekolah yang terkesan susulan kejadian itu.

Menurut beliau, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.

Bagaimanapun, katanya, sama ada insiden berkenaan mempunyai unsur sedemikian perlu ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukan melalui spekulasi.

“Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk setiap anak Johor, tempat mereka menimba ilmu, membina masa hadapan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Johor bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah menghormati keluarga mangsa, memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti serta memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat dan bertanggungjawab.

Beliau sekali lagi merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi kehilangan tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO