BN/UMNO Sudah Susun Gerak Jentera PRN Melaka – Ahmad Zahid
SHAH ALAM, 4 Okt – Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah merangka gerak kerja jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun keputusan mengenai rakan gabungan yang akan bersama-sama dalam pilihan raya itu belum dimuktamadkan.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN bersama rakan-rakan dalam gabungan parti akan terus menggunakan kekuatan dan pendekatan kerjasama sedia ada bagi memastikan persiapan pilihan raya berjalan lancar.
Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, jentera UMNO di peringkat akar umbi, khususnya Pusat Daerah Mengundi (PDM), telah mula merancang dan menyusun gerak kerja secara bersama bagi memastikan gelombang biru di Melaka dapat diterjemahkan menjadi kekuatan politik yang lebih besar.
“Di peringkat akar umbi UMNO, khususnya jentera di PDM, kita akan bergerak bersama-sama. Walaupun kita belum memutuskan rakan mana yang akan bersama kita, tetapi perancangan untuk menggerakkan jentera sudah pun dibuat.
“Kita mahu gelombang biru di Melaka ini benar-benar diterjemahkan menjadi satu gelombang yang akhirnya mampu mara ke seluruh negara,” katanya kepada media selepas program Seminar Ilmuan Islam, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata perbincangan dengan pihak berkaitan telah pun diadakan dan keputusan mengenai bentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka akan dimuktamadkan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober ini.
“Pengumuman berhubung gabungan atau persefahaman politik yang akan dimeterai dijangka dibuat selepas itu bagi membolehkan semua pihak bergerak secara tersusun dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kekuatan jentera parti terus diperkukuh, kesiapsiagaan di semua peringkat dipertingkatkan dan segala perancangan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang berkesan,” ujarnya.
Tambah Ahmad Zahid, langkah itu sekali gus memperlihatkan kesungguhan UMNO dan BN untuk memastikan persiapan menghadapi PRN Melaka tidak terjejas, meskipun keputusan rasmi mengenai kerjasama politik masih menunggu masa untuk diumumkan.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yakin Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpotensi menjadi peneraju dalam bidang teknologi kuantum menerusi pembangunan jabatan khusus yang mampu melahirkan pakar tempatan dalam tempoh kurang daripada satu dekad.
“Penubuhan jabatan kuantum di UiTM juga berpotensi dikembangkan menjadi sebuah fakulti khusus, sekali gus memperkukuh keupayaan Malaysia melahirkan tenaga pakar dalam teknologi berasaskan penemuan saintifik terkini.
“Jika UiTM diberikan tanggungjawab untuk membangunkan bidang ini pada tahun hadapan, saya amat yakin potensinya cukup besar untuk menarik ramai pelajar mengikuti pengajian berkenaan. Akhirnya, dalam tempoh kurang daripada satu dekad, kita mampu melahirkan pakar-pakar kuantum dalam negara,” katanya lagi.
Ujarnya, usaha itu bukan sahaja mampu memperluas peluang pendidikan tinggi, malah menjadi pelaburan penting dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang dapat menyumbang kepada kemajuan teknologi dan daya saing negara pada masa hadapan. – UMNO Online
