Koordinasi Gerak Kerja Penerangan BN Penting Hadapi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kordinasi gerak kerja penerangan antara parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) dan juga Friends of BN amat penting dalam menghadapi pilihan raya.

Katanya, ia juga memperkukuhkan lagi komunikasi dan jaringan antara parti supaya setiap gerak kerja yang diatur berjalan dengan lebih baik dan berkesan.

“Ketika pilihan raya baik Pilihan Raya Kecil atau Pilihan Raya Negeri, kita banyak bergerak bersama secara ad-hoc, tambahan pula dalam Perlembagaan BN tiada dikhususkan Penerangan.

“Kerana itu hari ini masanya perlu ada kordinasi secara formal,” katanya ketika berucap di Majlis Penerangan UMNO bersama Penerangan BN dan Friends of BN di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, di sini, Jumaat petang.

Hadir sama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Biro Penerangan MCA Mike Chong Yew Chuan; Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan Neow Choo Seong; Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk AK Ramalingam; Biro Media MIC Kebangsaan Datuk L. Siva Subramaniam.

Turut hadir, Ketua Penerangan PPP Nasional Stephen Asecalin V. Fernandez; Presiden MIUP Tan Sri S. Nalakarupan; Presiden Parti Punjabi Malaysia Datuk Gurjeet Singh Rhandé; Naib Presiden Makkal Sakti Datuk Kugeswaran; Wakil Presiden IPF Mahadevan Ratnam; serta Ketua Penerangan Parti Punjabi Malaysia Pagdeep Singh Dhillon.

Menyentuh mengenai komunikasi politik, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata ia perlu berstrategi dengan naratif yang tepat.

“Kita bercakap tentang membina naratif, krisis, membina kepercayaan. Apabila bercakap tentang komunikasi politik, kita tidak berkomunikasi secara biasa. Komunikasi politik itu kena bermula dengan apa naratif yang kita nak bawa,” katanya lagi.

Begitu juga dengan mesej yang hendak dibawa kepada rakyat serta tangkas menangkis dan seterusnya menerangkan isu-isu dan tohmahan yang dilemparkan kepada parti. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO