RM104,000 Untuk Rakyat Bentong, Sekolah Turut Terbela

BENTONG, 2 Okt – Keperluan rakyat terus diberi perhatian apabila sembilan buah sekolah dan seorang individu menerima sumbangan peruntukan berjumlah RM104,000 bagi membantu kerja-kerja pembaikan serta keperluan yang diperlukan.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Mohamad Zaini Salleh, pada satu majlis di Pejabat UMNO Bahagian Bentong, hari ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut yang diluluskan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat, termasuk keperluan institusi pendidikan, terus diberi perhatian.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang telah meluluskan peruntukan ini. Bantuan sebegini amat bermakna kerana ia dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan membantu mereka mendapatkan kemudahan yang lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, UMNO Bahagian Bentong akan terus memainkan peranan mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka agar setiap bentuk bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Bantuan berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada penerima, selain membantu mewujudkan persekitaran sekolah dan kediaman yang lebih selesa, selamat serta kondusif.”

Turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Bentong, Haji Abdul Rahman Abdul Aziz, Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Fahzliyaton Ahmad dan Ketua Cawangan Felda Mempaga 1, Mohd Mohidin Osman. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO