Gelombang Baharu Maritim, Cadang Perkenal Anugerah Tokoh Panglima Awang

MELAKA, 2 Okt – Kerajaan Negeri Melaka mencadangkan pengenalan Anugerah Tokoh Panglima Awang sebagai bentuk pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dalam bidang maritim di Akademi Laut Malaysia (ALAM).

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam memperkasa bidang maritim, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda Melaka.

“Kita mahu anak-anak muda Melaka bukan sahaja berani mengharungi lautan, tetapi berani membawa nama Melaka ke pentas dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘The Next Wave: Maritime Education Symposium ‘sempena Minggu Maritim Malaysia 2026 di ALAM.

Menurut beliau, Melaka yang mempunyai sejarah dan identiti yang begitu dekat dengan dunia maritim perlu melihat sektor berkenaan bukan sekadar sebagai warisan masa lalu, tetapi sebagai gelombang masa depan yang mampu membuka lebih banyak peluang pendidikan, kerjaya, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

“Untuk melangkah ke fasa seterusnya, kita mesti memperkukuh hubungan antara kerajaan, industri dan sektor institusi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Melaka dan MISC Berhad turut mengadakan pertukaran Memorandum Persefahaman sebagai kerangka strategik bagi memperkasa kerjasama dalam sektor maritim.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) turut memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Melaka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang mempunyai prospek kerjaya tinggi.

“Buat masa ini, TAPEM telah menyediakan bantuan pinjaman pendidikan kepada tiga orang kadet Melaka di ALAM berjumlah RM300,000,” katanya.

“Kita bina pendidikan, kita buka peluang. Kita lahirkan anak Melaka untuk menerajui gelombang maritim pada masa hadapan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO